Selesaikan soal dalaman parti ikut perlembagaan - Baru Bian - Utusan Malaysia

Selesaikan soal dalaman parti ikut perlembagaan – Baru Bian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING – Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baru Bian hari ini menegaskan bahawa perkara yang berkaitan dengan parti, termasuk pemilihan parti dan pelantikan pengerusi baharu negeri itu mesti dilakukan mengikut perlembagaan parti.

“Walau apa pun saya percaya  bahawa kewujudan parti itu mestilah mengikut peruntukan perlembagaan parti dan itu sangat penting, justeru saya mengalu-alukan kenyataan seperti ini,  walaupun kita di Sarawak kita akan mematuhi perlembagaan parti, ini sangat-sangat penting, “katanya kepada pemberita di sini.

Ditanya  sama ada  presiden atau ketua bahagian yang akan memilih pengerusi negeri, Baru yang juga menteri kerja raya  berkata: “Sangat jelas  dalam perlembagaan kita  bahawa pelantikan Ketua PKR di Sarawak dan Sabah ialah selepas berunding dengan semua ketua bahagian di Sarawak dan Sarawak, maka presiden akan melantik ketua negeri.”

Oleh itu, Ahli Parlimen Selanggau dan ADUN Ba’kelalan menegaskan bahawa tidak benar untuk mengatakan bahawa ia adalah prerogatif presiden parti untuk memilih pengerusi PKR negeri itu.

Beliau berkata mengikut peruntukan itu, presiden mesti berunding dengan semua ketua cabang di seluruh negeri dan hanya kemudiannya presiden akan memilih calon yang mendapat sokongan majoriti untuk menjadi ketua parti di peringkat negeri.

“Adalah jelas bahawa ini pernah dilakukan sebelum ini dan kita tidak akan mengubahnya dan saya rasa ini sangat penting dalam perlembagaan parti di mana Keadilan memberi autonomi bagi Sabah dan Sarawak yang mana ini selari dengan tuntutan kita bagi mendapatkan status sama rata dengan Semenanjung  Malaysia di bawah Perjanjian Malaysia 1963,” kata Baru.

Ketika ditanya tentang apa yang beliau maksudkan sebagai unsur luar yang cuba memecah belahkan PKR di Sarawak,  Baru berkata :”Saya rasa jelas terdapat orang tertentu yang cuba  mengalihkan  amalan kita di mana salah satunya  pelantikan pengerusi parti negeri.

“Kita telah bersatu selama bertahun-tahun semenjak saya mengambil-alih (sebagai pengerusi PKR Sarawak) sejak 2009 Keadilan di Sarawak telah bersatu dan kelihatan damai dan harmoni  sehingga sejak beberapa bulan kebelakangan ini terdapat cubaan menjejaskan kestabilan perpaduan kita  tetapi saya percaya para pemimpin Keadilan Sarawak telah matang dalam menyuarakan pendapat dan saya pasti tentang itu,” tegas Baru.

Terdahulu ratusan anggota dan penyokong PKR berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi memberi sambutan wira kepada Baru yang tiba dari Miri.

Sejurus tiba bersama isterinya kira-kira pukul 9.50 pagi, Baru diberi penghormatan sebagai Ketua Paling Utama oleh masyarakat Orang Ulu apabila mereka memakaikannya dengan penutup kepala  “Lavong Pahlawan Maren Kayan” iaitu penutup kepala bagi  golongan bangsawan suku Kayan dan Kenyah.

Dalam ucapannya Baru berterima kasih atas sokongan yang diberikan  kepadanya  untuk  memimpin parti  itu di Sarawak sejak 2009,  dan  menyatakan kesanggupannya untuk  terus memimpin  sekiranya diberi mandat.

“Terserah kepada anda semua sebagai anggota Keadilan dan ketua cabang di seluruh  negeri untuk memilih pemimpin masa depan kita. Saya sedia memimpin anda semula sekiranya diberikan mandat,” kata Bian sambil diikuti sorakan gemuruh para hadirin.

Baru berkata sebagai wakil tunggal PKR Sarawak dalam kabinet kerajaan pusat, beliau memberi jaminan bahawa sebagai orang Sarawak beliau akan bersuara tentang hak rakyat Sarawak yang diperjuangkan sejak sebelum Pakatan Harapan memegang kerajaan pusat. 

“Perjuangan kita  belum selesai dan kita  akan berusaha sebaik mungkin dan melaksanakan semua dasar dan manifesto pilihan raya yang telah kita  persetujui sebelum pilihan raya,” katanya dan menggesa rakyat supaya  bersabar dengan kerajaan baharu kerana kerana ia akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi apa yang telah dijanjikan kepada rakyat. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN