Gabungan Pas, UMNO bakal jadi kenyataan? - Utusan Malaysia

Gabungan Pas, UMNO bakal jadi kenyataan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 24 Nov. – Pas tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama politik atau membentuk gabungan dengan UMNO bagi menghadapi Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, kerjasama tersebut sememangnya menjadi keperluan bagi menentang Pakatan Harapan yang dilihat sudah melampaui batas.

Bagaimanapun katanya, pada masa ini, belum ada hubungan rasmi sebaliknya hanya kerjasama dalam beberapa isu berkaitan kepentingan orang Melayu dan Islam.

“Seperti kata presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), tidak perlu lagi tergesa-gesa (hubungan rasmi) kerana pilihan raya masih jauh lagi. Tetapi jalan ke arah itu memang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden dan Himpunan Jentera Pilihan Raya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli dan Ahli Jawatan Kuasa Pas Pusat, Mokhtar Senik.

Terdahulu, ketika sesi soal jawab dalam program tersebut, terdapat seorang peserta yang bertanyakan soalan mengenai proses pembahagian kerusi antara Pas dan UMNO dalam pilihan raya akan datang jika kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu bersatu.

Ketika menjawab soalan itu, Mahfodz berkata, perkara itu akan diteliti kemudian dan menyifatkan ia bukan sebagai masalah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN