KANGAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis memberi jaminan, barangan keperluan asas seperti ayam segar, daging lembu tempatan dan sayur-sayuran mencukupi pada cuti sekolah sehingga hujung tahun ini.
Pengarahnya, Khairul Amin Talib berkata, jaminan itu diberikan oleh pemborong-pemborong utama di negeri itu.
“Pemborong sudah dapat menjangka peningkatan terhadap barangan keperluan asas semasa cuti sekolah yang panjang setiap tahun.
“Malah, banyak majlis seperti perkahwinan, pertunangan, akikah dan sebagainya dianjurkan semasa cuti sekolah tetapi di Perlis setakat ini tiada masalah perihal bekalan ayam segar, daging lembu tempatan dan sayur-sayuran.
“Situasi sama di pasar borong, pasar awam dan pasar tani,” katanya kepada pemberita di Pasar Raya Besar Giant Kangar di sini hari ini.
Beliau berkata sedemikian pada Majlis Pelancaran Kempen Harga Patut Tahun 2018 Peringkat Negeri Perlis.
Menerusi kempen itu, barangan makanan kering, makanan dalam tin, produk minuman, bayi dan kanak-kanak, peralatan dan kelengkapan rumah, elektrik dan pakaian sekolah dijual dengan potongan harga sehingga 20 peratus sehingga hari ini.
Perlis mempunyai kira-kira 250,000 penduduk dan Pasar Raya Besar Giant merupakan satu-satunya pasar raya berskala besar di negeri itu.
Selain itu, Hospital Pakar KPJ Perlis ialah hospital swasta pertama di negeri itu yang menawarkan perkhidmatan perubatan dengan penggunaan teknologi canggih selain harga pakej yang berpatutan. – K! ONLINE











