Tidak timbul isu Streram calon 'payung terjun' - Utusan Malaysia

Tidak timbul isu Streram calon ‘payung terjun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 24 Nov. – PKR Cabang Rembau tidak boleh menganggap Dr. S. Streram sebagai calon luar bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau kerana beliau telah dipilih sebagai Timbalan Ketua cabang itu dalam Pemilihan PKR baru-baru ini.

Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun berkata, sekiranya Streram tidak mendapat sokongan ahli cabang itu sepatutnya beliau telah ditolak semasa pemilihan berkenaan.

“Sepatutnya tidak timbul isu, kerana dia Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau. Dia sudah menang di Rembau, jadi saya rasa pelik (ada yang mempertikaikan).

“Streram telah bekerja beberapa tahun di Negeri Sembilan, berulang-alik. Dia sudah beri khidmat bakti kepada masyarakat di Rantau dan Rembau,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan Sikamat di sini hari ini.

Semalam Ketua PKR Cabang Rembau, R. Tanggam meminta pimpinan parti itu supaya menamakan anak tempatan sebagai calon sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau.

Ujarnya, Streram adalah calon ‘payung terjun’ yang berasal dari Johor dan tidak mengetahui masalah penduduk di DUN tersebut. Rantau adalah salah satu daripada empat DUN yang terletak di bawah Parlimen Rembau.

Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Menteri Besar berkata, isu tersebut tidak wajar ditimbulkan kerana nama Streram turut disenaraikan oleh cabang itu bersama lima yang lain untuk dipilih pucuk pimpinan.

Katanya, beliau telah berjumpa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dan menyerahkan kepada pemimpin itu untuk memilih calon paling sesuai bagi kerusi DUN berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN