IPOH 24 Nov. – Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) berhubung isu membabitkan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) pada Isnin ini sedia untuk hadir namun bukan untuk sesi pendengaran awam.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, adalah satu kesalahan sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu dibicarakan di hadapan umum sedangkan sesi pendengaran hanya boleh dilakukan di hadapan ahli-ahli PAC sahaja.
Katanya, tindakan untuk membuat perbicaraan awam itu juga jelas bercanggah dengan norma-norma demokrasi apabila jawatankuasa tersebut dipesongkan fungsinya menjadi seperti mahkamah awam.
“Perlu ditegaskan bahawa PAC tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk menjadi badan perundangan yang boleh membuat perbicaraan umum dan jika diteliti Perintah Tetap dan Undang-undang Tubuh Negeri Perak juga tiada sepatah ayat yang memberi kuasa kepada PAC untuk berbuat demikian.
“Malah, keputusan memanggil perbicaan umum ini juga menunjukkan PAC telah melakukan ‘ultra vires’ iaitu melampaui kuasa yang diberikan kepada mereka selain ia tidak pernah dilaksanakan di mana-mana negeri dan DUN mahupun Parlimen,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, jika prosiding tersebut diteruskan, maka ia adalah merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa apabila PAC diperalatkan dengan tujuan jahat.
“Tidak keterlaluan jika tindakan tersebut disamakan dengan ‘kangaroo court’ yang terang-terang merupakan satu penghinaan kepada DUN Perak,” katanya.
Pada Khamis lalu, Pengerusi PAC, Leong Cheok Keng dilaporkan berkata, PAC akan memanggil Zambry serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Datuk Aminuddin Hashim untuk sesi pendengaran awam berhubung siasatan terhadap anak syarikat kerajaan negeri itu.
Cheok Keng berkata, beliau telah meminta Sekretariat PAC negeri untuk menghantar notis kepada kedua-dua individu berkenaan bagi menghadiri sesi tersebut yang bakal diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 26 November ini bermula pukul 10 pagi. – UTUSAN ONLINE










