SEREMBAN 24 Nov. – Menteri Besar, Aminuddin Harun berjanji situasi beliau dan beberapa exco kerajaan negeri duduk dalam keadaan berhimpit-himpit semasa sidang akhbar tidak akan berulang lagi.
Jelasnya, beliau tidak menyedari perkara itu sehinggalah dimaklumkan oleh beberapa pihak dan ia menjadi perhatian dalam laman sosial baru-baru ini.
“Selepas ini saya duduk sorang-sorang, sebelum ini sampai lima orang (duduk di kerusi). Insya Allah perkara itu tak akan berlaku lagi.
“Saya ambil maklum perkara itu. Sebelum ini saya tak perasan kerana saya datang dan terus buat sidang akhbar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan Sikamat di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat itu mengulas teguran pengguna laman sosial berhubung gambar beliau dan empat exco duduk berhimpit-himpit semasa sidang akhbar di kediaman rasmi Menteri Besar baru-baru ini.
Gambar itu yang tular menunjukkan Aminuddin diapit Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr. Razali Ab. Malik; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abd. Ghani dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon.
Malah, gambar tersebut menunjukkan Nicole kelihatan tidak selesa kerana terpaksa berhimpit-himpit dengan empat pemimpin berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin meminta penganjur program di negeri ini supaya mendapatkan pengesahan kehadiran beliau dan pemimpin lain terlebih dulu sebelum menggunakan gambar mereka bagi mempromosi acara masing-masing.
“Sebelum ini ada yang kata saya akan hadir program mereka tetapi saya sendiri tidak dapat surat. Saya rasa ada yang ambil kesempatan.
“Kadang-kadang isu dan program mereka sensitif dan akan mendatangkan kesan negatif kepada pemimpin Pakatan Harapan, sedangkan kami tidak hadir program itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










