JOHOR BAHRU 24 Nov. – Kenyataan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian tentang prestasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri mengecewakan tidak berasas dan sengaja dibuat bagi mengelirukan masyarakat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dakwaan itu tidak dibuat dalam konteks sebenar berserta maklumat lengkap.
Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, dakwaan mengatakan GLC mempunyai hutang yang banyak dan tidak untung menyebabkan banyak program pro-rakyat terpaksa dibatal atau ditangguhkan.
“Jumlah hutang tidak menunjukkan prestasi sebenar syarikat, ia perlu dinilai bersama-sama beberapa aspek antaranya aset semasa, jumlah simpanan serta aliran keluar masuk tunai.
“Banyak sumbangan GLC kepada masyarakat perlu turut diambil kira dalam menilai untung rugi mereka, seperti tajaan biasiswa, program komuniti, mewujudkan peluang pekerjaan, pemindahan teknologi, pemeliharaan alam sekitar dan pelbagai lagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











