Manchester, UNITED KINGDOM 24 Nov. – Manchester City tidak akan melakukan sebarang pembelian pada jendela perpindahan Januari ini sekali gus menafikan juara Inggeris itu bakal membawa masuk pemain baharu bagi menggantikan Benjamin Mendy yang mengalami kecederaan.
Pengurus City, Pep Guardiola berkata, beliau percaya pasukannya cukup kuat bagi mengharungi kempen musim ini biarpun dihantui beberapa siri kecederaan tonggak utama seperti Mendy, Kevin De Bruyne, Bernardo Silva and dan penjaga gol simpanan, Claudio Bravo.
“Tidak, kami tidak akan berbelanja langsung (pada Januari) ini. Saya gembira dengan skuad yang ada, mereka yang tercedera akan kembali jadi tidak mungkin (akan berbelanja),” katanya.
De Bruyne dan Silva dijangka kembali pulih dalam tempoh 10 hari sementara Mendy terpaksa diketepikan untuk 12 minggu selepas menjalani pembedahan miniskus pada lutut kirinya.
Sementara itu, mengulas mengenai sebarang tawaran ke atas pemain tengah Ajax Amsterdam, Frenkie de Jong, Guardiola berkata segalanya mungkin akan dilaksanakan hanya pada akhir musim.
de Jong merupakan pemain remaja yang meningkat naik dikaitkan dengan perpindahan ke Stadium Etihad bagi menggantikan Fernandinho di jentera tengah City. – AGENSI











