Dua bayi lelaki didera, pengasuh diburu polis - Utusan Malaysia

Dua bayi lelaki didera, pengasuh diburu polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Dua bayi lelaki berusia lima dan tujuh bulan mengalami muntah selain kesan lebam di badan disyaki akibat didera oleh seorang pengasuh wanita di sebuah Taska di Desa Saujana Kajang, dekat sini petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, ibu bapa kedua-dua bayi itu kemudian telah meminta untuk memeriksa kamera litar tertutup di taska tersebut.

“Mereka mendapati seorang pengasuh telah menghempas dan menggoncang seorang daripada bayi tersebut.

“Kedua-dua bayi itu kemudian telah dibawa Hospital Putrajaya untuk pemeriksaan dan mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Fadzil, pemeriksaan pada bayi pertama mendapati ada kesan lebam di bahagian dada dan kesan disyaki akibat kuku jari lebih kurang satu sentimeter.

Jelas beliau, terdapat kesan lebam di leher seorang lagi bayi.

Ujarnya, buat masa ini pihaknya sedang mengesan Nuriza Mohd. Rasdi, 31, yang beralamat di Pangsapuri Cempaka, Sek 16 Bandar Baru Bangi, dekat sini bagi membantu siasatan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN