KOTA MARUDU 23 Nov. – Lima termasuk tiga pensyarah maut apabila bas yang membawa kakitangan Politeknik Sandakan serta ahli keluarga mereka terbabas dan terbalik di kawasan Kampung Surun-Surun, Jalan Marak Parak di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada kira-kira pukul 4.30 petang itu, tiga pensyarah yang maut adalah wanita, dua lagi mangsa ialah suami kepada seorang daripada pensyarah tersebut dan bayi lelaki mereka yang berusia dua tahun.
Sebanyak 36 lagi penumpang bas persiaran itu cedera dengan tujuh daripadanya parah.
Kesemua mangsa dalam perjalanan menuju ke Marina Resort, Kudat untuk menghadiri Program Hari Keluarga Politeknik Sandakan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Mohd. Izaan Abdullah berkata, ketika kejadian bas persiaran milik Politeknik Sandakan itu dalam perjalanan dari Sandakan menuju ke Kudat.
Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, bas tersebut yang sedang menuruni bukit hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di kiri jalan arah ke Kota Marudu.
“Setakat ini, sebanyak lima mangsa dilaporkan meninggal dunia, tujuh parah dan 29 lagi cedera
“Empat mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang bayi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kota Marudu (HKM),” katanya.
Izaan menambah, mayat kesemua mangsa dibawa ke HKM untuk bedah siasat manakala mereka yang cedera dihantar ke HKM dan Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut.











