KUALA LUMPUR 23 Nov. – Selepas jumlah pendapatan menteri dan ahli Parlimen kerajaan diisytiharkan dalam portal yang diwujudkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal bulan ini, kini portal tersebut turut mendedahkan jumlah aset yang dimiliki mereka dan keluarga mereka sejak semalam.
Berdasarkan portal mydeclaration.sprm.gov.my, sebanyak 112 ahli Parlimen kerajaan telah mengisytiharkan aset mereka dan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham menduduki tempat pertama selepas mengisytiharkan aset bersama isteri dan anaknya dengan nilai RM75.8 juta.
Bagaimanapun, hari ini, Koo Ham memaklumkan jumlah keseluruhan aset yang dimiliki bersama isteri dan anaknya bernilai RM82 juta dan bukannya RM75.8 juta seperti yang tersiar dalam portal tersebut.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali pula di tempat kedua dengan jumlah aset bersama berjumlah RM32.4 juta.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof bersama isterinya pula di tempat ketiga selepas mengisytiharkan aset bernilai RM23.1 juta.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah turut mengisytiharkan aset bersama isteri dan anaknya bernilai RM15.3 juta manakala Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri mengisytiharkan aset bernilai RM14.4 juta.
Selain itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan isteri mengisytiharkan aset berjumlah RM11.6 juta; Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran dan isteri (RM10 juta); Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (RM7.8 juta) dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya, Datuk Christina Liew Chin Jin (RM6.8 juta).
Jumlah aset Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan isteri pula bernilai RM3.7 juta; Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan isteri (RM3.5 juta); Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Dorell Leiking dan isteri (RM2.9 juta) serta Menteri Wilayah, Khalid Samad dan isteri (RM1.9 juta).
Selain itu, nilai aset dimiliki Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjumlah RM722,312.57; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan isteri (RM558,000); Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa dan isteri (RM400,000) serta Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan isteri (RM200,000).
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mencatat jumlah aset terendah berjumlah RM29,000 manakala Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun pula mengisytiharkan aset bernilai RM72,000 sekali gus menjadikannya menteri yang mempunyai nilai aset terendah buat masa ini.











