Dia tak berhak ajar orang Islam – Hadi - Utusan Malaysia

Dia tak berhak ajar orang Islam – Hadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG 23 Nov. – “Dia tak berhak bercakap tentang orang Islam dan tidak perlu ajar orang Islam. Orang Islam le­bih reti daripada dia. Sepatutnya orang Islam yang sama dengan dia mengajar dia, ini tidak, dia pula yang nak ajar orang Islam dalam Pakatan Harapan.’’

Itulah kenyataan tegas Pre­siden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menganggap Penasihat DAP, Lim Kit Siang cuba berlagak pandai apabila membuat rumusan mengenai negara Islam seluruh dunia yang meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Bercakap kepada pemberita di kediamannya di Rusila dekat sini hari ini, Abdul Hadi mempersoalkan apa hak Kit Siang untuk membangkitkan dan me­ngajar umat Islam dalam soal berkenaan, sekali gus menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu ICERD baru-baru ini lebih berasas berbanding Ahli Parlimen Iskandar Pu­teri itu.

Abdul Hadi Awang
ABDUL HADI AWANG

Abdul Hadi turut menyifatkan ICERD sebagai agenda Freemason yang bertujuan merosakkan agama, bangsa dan negara.

Katanya, ICERD bakal menjadi agenda membuka ruang kepada tuntutan hak yang lebih besar kepada agama lain selain daripada Islam, sedangkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sudah cukup untuk memberi hak keadilan, hak asasi kepada semua kaum.

Ahli Parlimen Marang itu mengulas kenyataan Kit Siang yang menyatakan sebanyak 36 negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam telah meratifikasi dan melaksanakan ICERD, kecuali Malaysia dan Brunei Darussalam.

Sebelum ini, Kit Siang turut membangkitkan kemarahan pe­mimpin-pemimpin Pas dan UMNO apabila bertanya adakah dua parti dominan Melayu itu akan me­ngadakan protes terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah meletakkan Malaysia sebagai negara kleptokrasi global.

Kit Siang dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi dapmalaysia.org baru-baru ini membangkitkan persoalan itu selepas kedua-dua parti terbabit mengumumkan akan mengadakan himpunan bersama bagi membantah ICERD.

Sementara itu, Abdul Hadi turut mempersoalkan adakah DAP tidak senang jika membiarkan orang Melayu kembali bersatu, apatah lagi dalam perkara yang boleh mengekang agenda politik parti itu di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×