KUALA LUMPUR 23 Nov. – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan trak agro yang akan membawa dan menjual produk berasaskan pertanian selaras dengan hasrat kerajaan untuk memodenkan sektor agromakanan negara
Pengerusi FAMA, Ishak Ismail berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 50 buah trak agro akan beroperasi pada 2019 di kawasan-kawasan sasaran bagi membantu meningkatkan pendapatan usahawan dalam sektor tersebut selain memenuhi keperluan masyarakat setempat.
“Setakat ini kita ada lima model contoh trak agro yang diperkenalkan secara rasmi sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018.

“Sebelum ini bagi usahawan agro yang menggunakan trak makanan (food truck) hanya meraih pendapatan antara RM3,000 hingga RM6,000 tetapi dengan menggunakan trak agro yang mempunyai saiz lebih besar, mereka mampu meraih antara RM12,000 hingga RM14,000 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Trak Agro FAMA di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ishak berkata, trak agro berkapasiti lima tan itu mampu memuatkan pelbagai jenis produk pertanian seperti sayur-sayuran, daging, ikan serta produk-produk FAMA yang lain.
Katanya, harga barangan yang dijual pula lebih murah 20 peratus hingga 30 peratus berbanding harga pasaran semasa.
“Trak agro ini membolehkan usahawan terlibat untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat mengikut kemahuan mereka tanpa mengira waktu.
“Trak agro ini juga akan dilengkapi panel solar sebagai satu daripada sumber tenaga kenderaan tersebut dan usahawan terlibat tidak perlu bimbang sekiranya mereka mahu beroperasi hingga lewat malam,” katanya.
Menurut Ishak, FAMA mahu meluaskan ruang pemasaran produk pertanian dan mengangkat standard perniagaan itu ke peringkat yang lebih tinggi dari semasa ke semasa.











