Pelarian Rohingya terima ancaman - Utusan Malaysia

Pelarian Rohingya terima ancaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COX’S BAZAR 23 Nov. – Pasukan tentera di kem pelarian Rohingya didakwa melakukan kekerasan dan menakutkan mereka yang enggan menyertai skim kad pengenalan yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Al-Jazeera melaporkan, pasu­kan tentera berada di kem pelarian Hakimpara dekat sini bermula awal bulan ini bagi memberi tekanan kepada etnik tersebut untuk menandata­ngani perjanjian yang memberi mereka kad pengenalan.

Menurut saksi, anggota tentera akan memanggil semua pelarian dan berkumpul berhampiran pondok keselamatan bagi menerangkan kepada mereka mengenai skim tersebut.

“Anggota tentera memu­kul beberapa pela­rian yang berkumpul sebelum menjelaskan kepada mereka me­ngenai kepentingan serta faedah yang bakal diperoleh daripada kad pengenalan tersebut,” jelas saksi berkenaan.

Namun, kebanyakan pela­rian tersebut beranggapan keha­di­ran anggota tentera berkenaan adalah bertujuan menghantar mereka pulang semula ke Ra­khine, malah ada yang melarikan diri kerana enggan dihantar balik.

Dalam satu insiden ber­asingan pada bulan ini, pasukan keselamatan dilaporkan me­ngumpulkan kira-kira 18 majhis atau etnik Rohingya yang bertanggungjawab menguruskan kem-kem pelarian, dan mereka ditampar serta dipukul ketika diberi penerangan mengenai kad pengenalan terbabit.

Malah, mereka juga dipaksa untuk mengarahkan pelarian Rohingya lain untuk menyertai skim berkenaan.

Seorang majhis memberitahu kepada badan agensi Fortify Rights bahawa dia dipukul pada bahagian muka kerana tidak bersetuju dengan skim tersebut.

Seorang lagi majhis pula memaklumkan dia dituduh mempengaruhi pelarian lain supaya tidak bersetuju dengan skim tersebut, menyebabkan dia dipukul kuat dan diancam dipaksa pulang ke Rakhine.

Sementara itu, pakar hak asasi manusia badan tersebut, John Quinley menegaskan, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) seharusnya mendesak pihak berkuasa Bangladesh supaya tidak memaksa mana-mana pelarian Rohingya menerima skim itu.

Jelasnya, UNHCR gagal me­nyampaikan matlamat skim ter­sebut kepada Rohingya.

“Oleh yang demikian, etnik Rohingya enggan bersetuju dengan skim berkenaan kerana mereka tidak tahu apa sebenarnya kepentingan kad pengenalan,” katanya.

UNHCR sebelum ini menyatakan skim kad pengenalan tersebut akan menjamin hak Rohingya terutamanya dalam proses penghantaran pulang secara sukarela ke Myanmar dan menikmati kemudahan ketika di Bangladesh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×