JAKARTA 23 Nov. – Indonesia menghentikan prosedur mengenal pasti identiti kesemua mangsa nahas pesawat Lion Air, JT610 yang terhempas di perairan Tanjung Karawang pada 29 Oktober lalu menerusi cebisan badan yang ditemukan.
Pesawat jenis Boeing 737 Max 8 itu merupakan sebuah daripada pesawat paling baharu di dunia terhempas beberapa minit selepas berlepas dari Jakarta menuju ke Pangkal Pinang, menyebabkan kesemua 189 penumpangnya termasuk anak kapal terkorban.
Sejak nahas tersebut, pasukan penyiasat bertungkus-lumus melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap bahagian tubuh serta cebisan mayat mangsa yang ditemukan.
Ketua Pusat Perubatan Polis Kebangsaan Indonesia, Arthur Tampi berkata, sehingga hari ini, sebanyak 125 mangsa sudah dikenal pasti selepas beberapa ujian dilakukan terhadap bahagian tubuh yang dikumpul dalam 200 beg mayat sebelum ini.
“Kami sudah mengenal pasti sebanyak 89 penumpang lelaki dan 36 wanita termasuk dua warga asing iaitu seorang rakyat Itali serta India yang merupakan juruterbang pesawat tersebut.
“Prosedur mengenal pasti identiti mangsa dihentikan kerana semua bahagian tubuh serta cebisan mayat yang ditemukan sudah habis diperiksa,” katanya.
Dalam pada itu, Lion Air akan membayar wang pampasan berjumlah AS$100,000 (RM419,605) kepada setiap keluarga mangsa nahas.
Perakam data penerbangan (FDR) pesawat Lion Air sudah ditemukan, namun pasukan penyelam masih berusaha mengesan perakam suara kokpit (CVR) yang masih belum ditemukan sehingga kini.
Selain itu, laporan awal mengenai nahas pesawat tersebut dijangka dikeluarkan pada Rabu ini.
Berdasarkan siasatan yang dilakukan, pesawat tersebut mempunyai masalah dengan penunjuk aras kelajuan dan pengesan Angle of Attack atau AOA yang berfungsi sebagai pengukur sudut pesawat terhadap aliran udara. – AFP











