Inflasi di KL tertinggi pada Oktober - Utusan Malaysia

Inflasi di KL tertinggi pada Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Kadar inflasi bagi Oktober meningkat sebanyak 0.6 peratus kepada 120.7 berbanding bulan sama tahun lalu disebabkan kenaikan harga bagi kumpulan perumahan dan makanan dengan kadar inflasi di Kuala Lumpur melebihi paras Indeks Harga Pengguna (IHP) nasional daripada 0.6 peratus kepada 1.3 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, IHP bagi tempoh Januari hingga Oktober 2018 mencatatkan kenaikan sebanyak 1.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

MOHD UZIR MAHIDIN
MOHD UZIR MAHIDIN 

Katanya, secara keseluruhan, selain Kuala Lumpur, tiga lagi negeri melepasi paras IHP nasional pada Oktober 2018 berbanding Oktober 2017 iaitu Negeri Sembilan (+1.1 peratus); Selangor dan Putrajaya (+0.8 peratus) dan Pulau Pinang (+0.7 peratus) manakala Johor menunjukkan kenaikan pada paras yang sama dengan IHP nasional.

“Kenaikan indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol dicatatkan di kebanyakan negeri di Malaysia dengan tiga negeri merekodkan kenaikan yang lebih tinggi bagi indeks kumpulan tersebut melebihi paras indeks nasional (+1.2 peratus) bagi Oktober 2018 berbanding bulan yang sama tahun lalu.

“Kuala Lumpur menunjukkan kenaikan sebanyak 4.5 peratus, di­ikuti Negeri Sembilan (+1.6 pe­ratus), Selangor dan Putrajaya (+1.4 peratus) manakala Pulau Pinang mencatat kenaikan yang sama dengan paras indeks nasional bagi kumpulan utama tersebut,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Tambahnya, secara keseluruhan, indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus kepada wajaran IHP, meningkat sebanyak 1.2 peratus pada Oktober 2018.

“Kenaikan ini didorong oleh kenaikan subkumpulan sayur-sayuran (+3.0 peratus) dan ikan dan makanan laut (+0.8 peratus) manakala indeks bagi subkumpulan gula, jem, madu, coklat dan manisan turun 2.3 peratus diikuti oleh subkumpulan minyak dan lemak (-0.8 peratus) dan subkumpulan buah-buahan (-0.4 peratus).

“Penurunan ini disebabkan oleh indeks barangan yang menunjukkan penurunan di kebanyakan negeri seperti ayam (-5.2 peratus); gula putih (-3.1 peratus); susu krimer manis (-3.1 peratus); santan segar (-1.5 peratus); anggur (-1.1 peratus) dan cili kering (-0.8 peratus) manakala indeks makanan di luar rumah juga meningkat 2.7 peratus pada oktober 2018 berbanding oktober 2017,” katanya.

Beliau berkata, indeks teras Oktober 2018 juga menunjukkan kenaikan 0.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan tersebut adalah kenaikan harga dalam kumpulan perumahan; air; elektrik; gas dan bahan api lain; makanan dan minuman bukan alkohol; restoran dan hotel serta pendidikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×