AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sememangnya dikenali sebagai seorang yang lantang apabila bersuara khususnya melibatkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam.
Dalam tempoh tiga bulan, dua perhimpunan melibatkan orang Melayu diadakan di kawasan Parlimen beliau. Pertama, Himpunan Melayu Bangkit pada 1 September dan Himpunan Perpaduan Ummah pada 17 November lalu. Dua perhimpunan itu menyebabkan beliau dituduh macam-macam dalam laman sosial termasuk bersikap rasis, tetapi Tajuddin tidak cepat melatah.
Justeru kelmarin di Dewan Rakyat, Tajuddin menegur ahli-ahli politik tidak kira kerajaan mahupun pembangkang yang dianggap membangkitkan isu perkauman untuk meraih sokongan.
Sambil menegaskan, tiada ketegangan atau isu kaum di pekan kecil atau kampung, Tajuddin berkata,: “Sama ada Melayu, Cina atau India mereka ok sahaja antara sama lain. Masalahnya ialah ahli politik. Apabila kita mahu sokongan, kita mainkan isu kaum untuk kepentingan sendiri. Jangan nafikan ini. Di pekan-pekan kecil kami (semua kaum) bagaikan bersaudara. Kami tidur di rumah bukan Islam, kami beli barang di kedai Cina dan orang Cina beli barang di kedai kami.”
Mungkin akan ada yang bertanya “habis tu yang dua perhimpunan di Pasir Salak itu, apa benda bukan rasis ke?” Macam mana pula Himpunan Bantah ICERD pada 8 Disember, bolehkah ia dilihat dari segi perkauman (rasis)?
Sebelum berhujah fikirkanlah apakah maksud rasis? Mengikut Wikipedia, rasis adalah satu bentuk kepercayaan, sikap dan amalan yang mendiskriminasi segolongan manusia berdasarkan ciri-ciri perkaumannya. Pada dasarnya, kepercayaan ini mengandaikan bahawa manusia boleh dibahagikan kepada kaum yang berbeza dan serentak itu, ia juga mengandaikan bahawa nilai dan darjat seseorang boleh ditentukan berdasarkan kaum yang diwakilinya. Dalam bahasa Melayu, konsep rasisme sangat berkaitan dengan perkauman dan juga semangat assabiyah.
Fahaman rasisme sentiasanya akan membawa kebinasaan kepada manusia. Pada kebanyakan masa, rasisme akan melibatkan permusuhan terhadap kaum-kaum yang tertentu. Daripada itu, fahaman ini akan menghasilkan amalan seperti berikut, diskriminasi kaum, pengasingan kaum dan pembasmian kaum.
Persoalannya adakah dua perhimpunan di Pasir Salak tersebut dan himpunan bantah ICERD pada 8 Disember ini mempunyai semangat sedemikian? Adakah salah untuk orang Melayu mempraktikkan kebebasan bersuara bagi melahirkan bantahan mereka kepada satu-satu perkara yang dianggap boleh menjejaskan kedudukan mereka?
Ada pula yang berhujah, perhimpunan-perhimpunan itu menunjukkan orang Melayu cepat melatah dan akan menyebabkan orang Melayu dituduh rasis. Kalaulah orang Melayu cepat melatah, kalaulah orang Melayu bersikap rasis, sudah lama Malaysia berada dalam keadaan huru-hara.
Orang Melayu tidak bersikap demikian. Sebab itulah dalam dua perhimpunan tersebut dan sudah tentu dalam perhimpunan 8 Disember nanti ia sama sekali bukan bertujuan untuk menghasut apatah lagi mahu menentang mana-mana kaum.
Sebaliknya mereka yang menyertai perhimpunan itu hanya menggunakan hak kebebasan bersuara mengikut lunas undang-undang bagi melahirkan pandangan dan bantahan. Justeru tidak perlulah mana-mana pihak terutamanya ahli politik mahu mempengaruhi rakyat dengan mengaitkan dengan perhimpunan berunsur rasis.
Majoriti rakyat biasa boleh memahami mengapa himpunan itu diadakan. Mereka sama sekali tidak melihatnya sebagai ancaman, tetapi masalahnya ada dalam kalangan ahli politik yang cuba mengapi-apikan sentimen rakyat apabila mahu mereka melihat ia dari sudut perkauman.
Soalnya, adakah salah orang Melayu berhimpun? Salahkah orang Melayu melahirkan perasaan mereka? Bukannya hendak bergaduh dengan sesiapa. Kajilah situasi di Pasir Salak selepas dua perhimpunan yang dihadiri oleh orang Melayu, adakah selepas itu tercetus huru-hara atau kacau bilau? Pasir Salak terus tenang kerana rakyat biasa yang tidak terlibat dengan perhimpunan itu termasuklah bukan Melayu beranggapan itu hak sesiapa sahaja berbuat demikian secara aman.
Oleh itu tidak perlulah menuduh kononnya perhimpunan membantah ICERD atau menentang tindakan yang dilihat bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan membuktikan orang Melayu mudah melatah. Orang Melayu bukan begitu sikapnya. Sebaliknya orang Melayu hanya bangkit bersuara dan membuat pendirian apabila melihat ada pihak yang semakin ‘naik tocang’ atau cuba mengganggu gugat perkara yang tidak sepatutnya.
Dari satu sudut, perhimpunan seumpama itu sekadar mengingatkan kepada kerajaan dan mana-mana pihak juga agar jangan menjolok sarang tebuan atau jangan cuba bermain dengan api. Malaysia sudah aman selama ini. Kita tidak perlu memenuhi agenda barat dalam membentuk sistem sosial dalam menguruskan negara ini.
Selama ini tiada bukti yang menunjukkan orang Melayu mudah melatah sehingga menghuru-harakan negara. Orang Melayu sebaliknya lebih banyak bertolak ansur, bersabar dan mematuhi undang-undang dalam menentang sesuatu.
Diakui ada orang Melayu yang mudah terhasut seperti mana pernah kita saksikan dalam beberapa perhimpunan jalanan sebelum ini terutamanya sebelum PRU-14, tetapi itu hanya kes terpencil. Dalam banyak keadaan orang Melayu tidak mudah melatah, cumanya kali ini parti Melayu dan NGO Melayu terpaksa bersuara selepas melihat ada keberanian luar biasa daripada pihak tertentu untuk menguji kesabaran orang Melayu. Itu sahaja.











