Bantuan nelayan dianaktirikan? - Utusan Malaysia

Bantuan nelayan dianaktirikan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, BELANJAWAN 2019 yang dibentangkan pada 3 November lalu oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng secara dasarnya adalah satu belanjawan yang baik apabila mereka memperkenalkan kaedah pemberian bantuan sara hidup yang mengambil kira bilangan ahli isi rumah selain mempertingkatkan kadar gaji minimum.

Malah kerajaan Pakatan Harapan dalam belanjawan itu juga telah membentangkan langkah-langkah mengurangkan jumlah pekerja asing di negara ini melalui levi serta memperkenalkan kad pengangkutan awam tanpa had dengan bayaran RM100 sebulan.

Namun begitu tidak boleh kita nafikan belanjawan tersebut tetap mempunyai beberapa kelemahan terutama faedah secara langsung yang membabitkan golongan bawahan tertentu seperti petani, pekebun kecil getah dan sawit termasuk nelayan.

Oleh itu tidak wajar mana-mana pihak menganggap belanjawan yang dibentangkan itu sempurna. Masih terdapat kelemahan khususnya yang membabitkan beberapa golongan yang saya sebutkan tadi. Justeru tidak hairan terdapat dalam kalangan rakyat kini berkata, di mana pembelaan untuk rakyat?

Tahun lalu, bantuan musim tengkujuh untuk nelayan, pekebun kecil dan penoreh getah yang diperuntukkan adalah sebanyak RM261 juta. Bantuan ini nampaknya telah dimansuhkan sama sekali. Bagi saya amatlah mengecewakan apabila Belanjawan 2019 tidak menyatakan bentuk bantuan kepada golongan berkenaan.

Sememangnya menjadi satu cabaran besar kepada golongan terbabit untuk berhadapan dengan musim tengkujuh yang dijangka memakan masa antara tiga hingga empat bulan. Ini kerana dalam tempoh itu mereka bakal kehilangan punca pendapatan atas faktor cuaca tidak menentu

Bantuan elaun sara hidup terutama kepada nelayan ibarat tulang belakang sumber pendapatan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan seharian. Di mana lagi sumber pendapatan mereka jika elaun sara hidup tidak lagi diberikan.

Sewajarnya pihak kerajaan mempertimbangkan semula bantuan elaun sara hidup kepada nelayan dan petani demi kelangsungan hidup mereka.

AMIR AUNI 
MOHD. ROSLAN

Fakulti Ekonomi 
dan Muamalat, USIM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN