KESILAPAN yang dilakukan secara bukan sengaja lazimnya tidak terlepas daripada dikecam tentang moral dan kredibilitinya, apatah pula dengan seseorang yang melakukan kesilapan dalam keadaan sedar atau sengaja. Lalu, golongan yang berbohong secara sengaja ini sering dilabelkan sebagai tidak bermoral dan sukar dimaafkan. Lebih-lebih lagi jika pembohongan itu melibatkan isu-isu yang mengganggu ketenteraman awam atau jiwa masyarakat.
Pembohongan bukan sahaja mengelirukan umum, malah boleh mencetuskan sengketa, pergaduhan, perpecahan atau mengakibatkan kesan lebih buruk, sama ada terhadap individu, masyarakat atau negara. Lumrahnya, pembohongan menghapuskan keyakinan dan melenyapkan rasa hormat dan kepercayaan umum terhadap si pembohong itu sendiri.
Justeru, langsung tidak wajar bagi seseorang yang bergelar pemimpin melakukan pembohongan di luar negara hanya bagi melunaskan kepentingan mana-mana puak atau segmen kaum. Tindakan itu bukan sahaja mencerminkan nilai moral peribadi pemimpin berkenaan, tetapi mengakibatkan kerosakan imej kepada negara.
Pertama, dunia luar boleh mengubah persepsi atau sangkaan baik terhadap negara selama ini, kepada sebaliknya. Kedua, bagi masyarakat dunia yang sudah kenal benar dengan suasana politik yang menjamin kestabilan negara ini sejak lebih enam dekad lalu, tentu merasa pelik dan mempersoalkan nilai kredibiliti si penutur berkenaan.
Kesan seterusnya, masyarakat dunia akan melihat negara ini sedang berhadapan dengan krisis keresahan rakyat dan sekali gus mereka menganggap suasana politik Malaysia sudah tidak begitu stabil lagi. Ekoran itu, para pelabur luar akan mula melupakan Malaysia.
Berasaskan etika perkhidmatan awam, seseorang pegawai yang terseret dengan isu memburuk-burukkan organisasi atau kerajaan boleh diambil tindakan disiplin atau tatatertib. Jika sabitannya cukup memudaratkan, pegawai itu boleh dilucutkan jawatan.
Pembohongan, khususnya atas hal-hal membabitkan nilai toleransi dan keadilan bagi rakyat pelbagai kaum dan anutan agama serta latar belakang budaya di Malaysia sukar diterima oleh majoriti rakyat. Telah sekian lama mereka menikmati kemakmuran bersama, mengharungi cabaran dan ujian penuh insaf dan bersepadu. Perasaan ‘aku sayangkan Malaysia’ yang tertanam di hati rakyat, berjaya mewujudkan suasana sentiasa harmoni, damai dan progresif.
Malangnya, fenomena pembohongan ini kelihatannya semakin menular hingga ke sesi persidangan di Dewan Rakyat. Semacam suatu trend, yang mana ada jawapan yang disampaikan tidak menepati fakta atau asas kebenaran. Apakah ada pihak merasakan rakyat Malaysia boleh diperlekehkan sehingga ke tahap itu?
Harap-harap di Malaysia tidak terdapat pemimpin-pemimpin yang dipilih rakyat akan tertawa ‘di belakang tabir’ dengan kata-kata:“Aku berbohong pun rakyat pilih juga…”
Lebih enam dekad rakyat Malaysia melayari penghidupan berpaksikan konsensus, yakni merumuskan program dan perancangan secara muafakat, sambil bersikap sederhana tanpa ‘ekstrim’ atau menuntut sesuatu di luar batasan sepatutnya.
Satu lagi konsep yang diamalkan di Malaysia sejak sekian lama ialah inklusif. Suatu pendekatan yang menentukan semua pihak tanpa mengira kaum, agama atau sempadan negeri atau daerah, juga segmen sosial dan pekerjaan, mendapat liputan kecaknaan dan pembelaan secara menyeluruh.
Sepatutnya semua pihak perlu berterima kasih dengan nilai toleransi tinggi orang Melayu dalam membina kehidupan sekata dan serasa di negara ini. Tiada ungkitan atau rungutan yang timbul. Semua pihak perlu menghormati apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan seadanya.
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.











