MUTAKHIR ini, pelbagai pihak bercakap tentang ratifikasi ICERD. Namun, mungkin terdapat juga sebilangan masyarakat yang masih keliru tentang istilah meratifikasi ICERD apatah lagi perkataan itu dilihat terlalu akademik dan sukar difahami oleh segelintir pihak.
Meratifikasi membawa maksud mengesahkan dan ICERD adalah singkatan bahasa Inggeris kepada International Convention For Elimination of All Forms of Racial Discrimination atau lebih mudah difahami dalam bahasa Melayu, Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum.
ICERD diterima pakai oleh PBB pada 1965 dan dikuatkuasakan pada 1969. Melalui artikel 5 dalam ICERD, mana-mana negara yang meratifikasi ICERD mestilah menghapuskan serta menghalang sebarang bentuk diskriminasi melibatkan perbezaan kaum, warna kulit bagi menjamin hak setiap orang termasuk mendapat hak dari segi undang-undang.
Baru-baru ini, apabila terdapat cadangan daripada segelintir pihak yang mahukan kerajaan Malaysia meratifikasi ICERD, usaha itu telah mendapat tentangan yang hebat daripada majoriti rakyat Malaysia khususnya kaum bumiputera.
Menjadi kemusykilan pada kita, apakah yang menjadi asas pertimbangan bagi mereka yang bersungguh-sungguh mahu Malaysia meratifikasi ICERD ini sedangkan sejak 1957 Malaysia mencapai kemerdekaan, rakyat hidup dalam keadaan harmoni walaupun terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik.
Kontrak sosial serta Perlembagaan Persekutuan yang digubal pada 1957 secara jelas memberi gambaran bahawa hak semua rakyat Malaysia terus terjamin selagi mana dipatuhi. Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai contoh, bukan sahaja menyebut tentang kedudukan istimewa orang Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak, tetapi menegaskan kepentingan sah kaum-kaum lain turut dijamin.
Sewajarnya, semua pihak tidak perlu memberi fokus kepada isu ICERD, tetapi sebaiknya pemerkasaan Perlembagaan Persekutuan yang selama ini menjadi garis panduan kepada sesuatu dasar perlu dilaksanakan dengan lebih efektif.
Mungkin selama ini, terdapat sesetengah pihak melihat Perlembagaan Persekutuan dengan kotak pemikiran sempit. Mereka beranggapan, undang-undang tertinggi negara itu hanyalah bersifat pilih bulu untuk bumiputera semata-mata, namun pada masa sama kita dapat melihat pemilikan ekuiti kaum bumiputera dalam negara masih ketinggalan berbanding kaum lain.
Jika bantuan kerajaan kepada kaum bumiputera dianggap sebagai diskriminasi, ini adalah tafsiran yang salah sama sekali kerana itu dikategorikan sebagai dasar afirmatif untuk membantu golongan yang selayaknya.
Kita perlu menerima hakikat bahawa Malaysia diberi kemerdekaan oleh British hasil daripada perjanjian murni yang telah dimeterai oleh tiga kaum utama melalui wakil pemimpin masing-masing iaitu Tunku Abdul Rahman (Melayu), Tun Tan Cheng Lock (Cina) dan Tun Sambanthan (India).
Hasil perjanjian tersebut maka terbentuklah kontrak sosial yang merangkumi kedudukan Raja-raja Melayu, kedudukan Istimewa orang Melayu dan pribumi, bahasa Melayu, agama Islam dan kewarganegaraan. Walaupun hanya satu sejarah yang lama, tetapi ikatan inilah yang menjadi formula utuh kepada keharmonian masyarakat Malaysia sehingga hari ini.
Diskriminasi berbentuk negatif sewajarnya ditentang. Setiap daripada individu mempunyai hak untuk dipertahankan, namun tuntutan hak tersebut mestilah berpandukan kepada undang-undang serta garis panduan Islam, apatah lagi kita telah bersetuju Islam adalah agama bagi Persekutuan.
Perjuangkan hak sama rata adalah berbeza sama sekali dengan melaksanakan sebuah keadilan. Jika mahu disamarata, maka tidak perlu wujud sekolah vernakular atau sekolah tahfiz, sebaliknya semua kaum hanya wajib belajar di sekolah aliran kebangsaan. Namun, untuk berlaku adil kerana mengambil kira keperluan tertentu, maka undang-undang Malaysia membenarkan semua itu berlaku.
Dalam hal ini pihak kerajaan mungkin perlu menggubal satu akta baharu yang lebih bersifat anti diskriminasi. Penulis percaya, akta ini bukan sahaja mampu menjaga hak semua pihak serta menghalang individu tidak bertanggungjawab menggunakan kedudukan mereka untuk menindas individu lain, tetapi juga mampu melindungi pencabulan terhadap Perlembagaan Persekutuan.
Cadangan akta baharu ini tidak hanya tertumpu kepada diskriminasi berasaskan kaum, agama dan warna kulit, tetapi mestilah bersifat menyeluruh termasuk jantina, umur, majikan dan pekerja, hubungan kekeluargaan, pelancong dan pekerja asing.
PENULIS ialah Ketua Eksekutif Informasi dan Media Persatuan Gerakan Demokrasi Profesional (Prodem).











