KUALA LUMPUR 23 Nov. – FGV Holdings Bhd. mengemukakan saman berjumlah RM514 juta serta ganti rugi lain terhadap bekas Presiden Dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah dan 13 yang lain berhubung pemerolehan Asia Plantation Ltd. (APL) pada tahun 2014.
Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, nama lain yang dikenakan saman termasuklah Tan Sri Isa Samad yang merupakan pengerusi FGV pada masa itu, bekas Ketua Pegawai Kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha, bekas Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Kluster Hiliran, Farisan Mokhtar, dan bekas Pengurus Besar Kanan Kluster Hiliran, Rasydan Alias Mohamed.
Sembilan yang lain didakwa adalah bekas Pengarah Bukan Eksekutif FGV iaitu Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Wan Aziz Wan Abdullah, Tan Sri Sulaiman Mahbob, Datuk Omar Salim, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid, Datuk Yahaya Abd Jabar, Datuk Faizoull Ahmad , Datuk Nozirah Bahari dan Datuk Fazlur Rahman Ebrahim.
“Syarikat mengambil tindakan ini berikutan kerugian yang dialami akibat daripada kegagalan mereka melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab masing-masing serta kesetiaan atau kewajipan untuk melakukan penjagaan, kemahiran dan ketekunan yang munasabah,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, saman tersebut adalah berkenaan dengan pengambilalihan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam APL melalui tawaran tunai bersyarat sukarela pada tahun 2014.
FGV menuntut RM514 juta untuk kerugian yang timbul daripada pengambilalihan, atau secara alternatif, ganti rugi atau kehilangan dari pengambilalihan yang dinilai oleh mahkamah.
Tuntutan lain dalam tuntutan itu termasuk ganti rugi am dengan kadar faedah lima peratus setahun antara hari ini dan sehingga penyelesaian akhir; kos dengan kadar faedah lima peratus setahun antara tarikh kos yang diberikan sehingga tarikh penyelesaian akhir, serta pelepasan lain yang dianggap patut oleh mahkamah.
FGV berkata ia akan mengumumkan kesan kewangan dari litigasi ini pada masa akan datang. – UTUSAN ONLINE










