Lelaki terbunuh kebakaran rumah - Utusan Malaysia

Lelaki terbunuh kebakaran rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL 23 Nov. – Seorang lelaki terbunuh manakala ibu mertuanya kritikal selepas rumah mereka di Taman Cegar dekat Simpang Ampat di sini terbakar petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, mangsa A. David Saminathan, 52, ditemukan terbaring di depan pintu bersebelahan tangga di tingkat atas rumah itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintenden Shafee Abdul Samad berkata, berdasarkan maklumat daripada anak perempuan mangsa kebakaran itu dipercayai berpunca dari ruang tamu.

Menurutnya, ibu mertua mangsa yang berusia 60 tahun turut cedera parah dalam kejadian itu dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan.

“Ketika kejadian mangsa berada di rumah bersama isteri, ibu mertuanya dan anak perempuan mereka sebelum kebakaran berlaku di ruang tamu sebelum merebak ke tingkat atas.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat dan pihak polis masih menyiasat sekiranya berlaku unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN