Para Sukma Ke-19 buka tirai - Utusan Malaysia

Para Sukma Ke-19 buka tirai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 23 Nov. – Para Sukan Malaysia (Para Sukma) Ke-19 membuka tirai secara rasmi di Stadium Indera Mulia, di sini malam ini.

Pada temasya yang bermula 21 hingga 28 November ini, seramai 2,046 atlet dan pegawai terlibat bagi merebut 1,204 pingat yang melibatkan 10 jenis sukan di 10 venue pertandingan.

Terdahulu acara pembukaan rasmi temasya sukan itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Lagu Kebesaran Negeri Perak sebelum perarakan masuk 15 kontinjen yang didahului negeri Sarawak yang juga juara bertahan Para Sukma sejak tahun 1994 dengan dibarisi 184 atlet.

Pasukan tuan rumah, Perak menghantar 80 atlet diikuti Kedah (87), Kelantan (48), Melaka (74), Negeri Sembilan (76), Pahang (63), Perlis (132), Pulau Pinang (50), Sabah (105), Selangor (107), Terenggangu (88), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (98), Wilayah Persekutuan Labuan (16) dan Johor (107).

Perasmian kejohanan dwi tahunan itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perarakan obor Para Sukma dibawa oleh lima atlet kelahiran negeri ini yang telah mengharumkan nama negara dipelbagai kejohanan di peringkat antarabangsa dengan diketuai Muhamad Ashraf Muhamad Haisham sebelum obor itu diserahkan kepada Syed Saddiq untuk disempurnakan.

Sementara itu dalam ucapannya, Syed Saddiq berkata, Para Sukma Ke-19 disifatkan sebagai medan terbaik untuk semua atlet orang kurang upaya (OKU) mempamerkan kecemerlangan dan prestasi masing-masing.

Katanya, ia juga menjadi medan bagi golongan tersebut mengharumkan nama negeri masing-masing sebelum mewakili negara pada masa akan datang.

“Matlamat penganjuran Sukma tidak lain adalah bertujuan untuk menyediakan atlet dari seluruh negara dalam mempamerkan bakat dan kebolehan mereka.

“Bagi kementerian, temasya ini begitu penting untuk melahirkan lebih ramai atlet para yang berbakat dan berpotensi untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN