REMBAU – Laluan Dr. S. Streram untuk dicalonkan mewakili PKR dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau jika diadakan kelak agak berliku apabila PKR Cabang Rembau tidak menyokong cadangan meletakkannya di situ.
Ketua cabang tersebut, R.Tanggam berkata, walaupun Streram adalah timbalannya, pakar bius itu bukan anak tempatan dan menyifatkannya calon ‘payung terjun’.
Katanya, ahli-ahli cabang itu juga menyatakan pendirian dalam mesyuarat Rabu lalu untuk menolak mana-mana calon dari luar mewakili PKR dalam PRK tersebut.
“Streram orang luar, dia dari Johor. Dia datang dalam lima atau enam tahun dulu ke Rantau kemudian hilang. Bukan saja Streram tetapi, sesiapa calon dari luar kita tolak. Ini adalah maruah kita.
“Walaupun saya hormat keputusan pucuk pimpinan parti tetapi, kena ambil pandangan cabang, kerana ahli cabang yang akan buat kerja. Akhirnya rakyat yang akan mengundi pemimpin mereka,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mahkamah Khas Pilihan Raya baru-baru ini mengisytiharkan kemenangan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan di DUN Rantau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 terbatal dan tidak sah, sekali gus PRK perlu diadakan.
Rantau adalah salah satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Rembau.
Tanggam memberitahu, PKR Cabang Rembau bersetuju sebulat suara mencalonkan beliau sendiri dan Ketua Wanita cabang itu, A. Bathmavathy sebagai calon.
“Saya dan Bathmavathy adalah dari Sendayan yang terletak di bawah DUN Rantau. Dalam PRU-14 lalu, kita tak ada calon wanita di negeri ini sebab itu kita beri laluan kepada wanita kali ini.
“Selain itu, cabang turut akan menghantar empat lagi calon termasuk Streram untuk dinilai oleh pucuk pimpinan,” ujarnya. – K! ONLINE










