KUALA LUMPUR 23 Nov. – Keputusan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) mesti diperkukuhkan dengan membuat pendirian rasmi dalam Sidang Dewan Rakyat.
Ini penting supaya usaha meratifikasikan ICERD tidak diteruskan pada masa akan datang kerana rakyat bimbang keputusan Kabinet PH ini hanya bersifat sementara.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, keputusan Kerajaan PH yang tidak akan meratifikasikan ICERD dialu alukan,
Isu ini, jelas beliau yang merupakan Ahli Parlimen Lenggong, semestinya menjadi pengajaran besar kepada Kerajaan PH terutama pimpinan PKR, DAP atau yang lain agar berhati-hati ketika mencadangkan sesuatu perkara terutama berkaitan perkara sensitif, apa lagi yang membelakangkan hal berkaitan kontrak sosial terutama Perlembagaan Persekutuan.
“Jangan sesekali menyentuh perkara berkaitan kepentingan Islam, institusi raja, kepentingan Melayu dan bumiputera. Apabila disebut perkara ini, bukan bermakna ia mengenepikan kepentingan agama dan kaum lain. Perkara berkenaan dipertahan kerana ia telah lama dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Pada saya, adalah lebih baik kerajaan PH menumpukan usaha kepada pembelaan rakyat yang ketika ini tertekan dengan pelbagai isu terutama berkaitan kenaikan kos sara hidup dan kejatuhan harga komoditi yang memberikan kesan kepada petani, nelayan dan pekebun kecil. Semua isu ini sangat jelas tidak ditangani dengan serius oleh kerajaan PH,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










