KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan empat daripada lima orang penjenayah yang mati ditembak dalam kejadian samun sebuah kedai emas di Jalan Kuchai Lama Selasa lalu mempunyai pelbagai rekod lampau yang salah di sisi undang-undang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua suspek yang terbunuh itu berumur di antara 20 hingga 37 tahun dengan salah seorang daripada mereka menjadi buruan polis.
“Keempat-empat penjenayah tersebut pernah melakukan kesalahan berkaitan dadah, merompak dan kes melibatkan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1995.
“Manakala, penjenayah yang paling muda berumur 20 tahun itu pula pernah menjadi buruan polis atas kesalahan cubaan membunuh,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, tiga daripada penjenayah tersebut berasal dari Teluk Panglima Garang, Selangor; Ampang, Selangor (1) dan Lunas, Kedah (1).
Beliau berkata demikian pada Program Kepolisan Berprofil Tinggi (HPP) di pusat beli-belah Sunway Putra Mall di Jalan Putra di sini hari ini.
Dalam perkembangan mengenai HPP Mazlan berkata, program tersebut juga sebagai langkah untuk masyarakat mendekati polis dalam memerangi jenayah di Kuala Lumpur.
“Masih ramai lagi rakyat Malaysia yang tidak tahu bagaimana untuk menghubungi pihak polis jika ternampak sesuatu insiden dan hanya merakam video serta tularkannya di media sosial sahaja.
“Jadi dengan adanya program ini masyarakat didedahkan supaya tidak takut untuk mendekati pihak polis dan mereka turut diberikan nombor talian balai polis yang beroperasi 24 jam untuk dihubungi jika berlaku kecemasan,” jelasnya. – K! ONLINE










