Perhimpunan aman simbolik rakyat tolak ICERD - Utusan Malaysia

Perhimpunan aman simbolik rakyat tolak ICERD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 23 Nov. – Seramai lebih 2,000 orang hadir pada perhimpunan aman bagi membantah rancangan kerajaan untuk meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Bandar, di sini hari ini.

Gabungan yang berhimpun selepas selesai solat Jumaat itu terdiri daripada wakil UMNO, Pas termasuk badan bukan kerajaan (NGO) berlangsung selama lebih sejam dengan aman dan tanpa sebarang provokasi.

Antara pemimpin yang turut berhimpun adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Hamdan, Pesuruhjaya Pas Kedah, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Mohd. Fadzil Zolkipli, Dr Ahmad Fakruddin Syeikh Fakhrurazi dan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sik, Muhammad Sanusi Md Nor.

Mohd. Fadzil ketika ditemui berkata, perhimpunan itu adalah satu isyarat rakyat terutama orang Islam dan Melayu kepada pihak kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar tidak sesekali mengiktiraf ICERD di negara ini.

“Kita berkumpul tanpa mengira fahaman politik bagi memastikan bahawa maruah orang Melayu dan agama Islam dan Melayu tidak sesekali dipandang ringan oleh kerajaan.

“Ini kerana ditakuti jika ICERD diiktiraf serta disahkan, ia akan menyebabkan negara kacau bilau disebabkan agama Islam sudah pun disamaratakan dengan agama lain,” katanya.

Sementara itu, Dr. Ahmad Fakruddin berkata, pihaknya berharap kerajaan PH supaya tidak sewenang-wenangnya bertindak tanpa mengendahkan sentimen membabitkan agama Islam.

“Bantahan diadakan ini adalah sebagai lambang penolakan orang Melayu dan Islam terhadap ratifikasi ICERD yang mampu mengganggu gugat kesucian Islam di negara ini.

“Kita bimbang jika perjanjian antarabangsa ini disahkan oleh kerajaan ia akan memberi provokasi kepada masyarakat Islam dan Melayu di negara ini,” katanya.

Himpunan tersebut diteruskan dengan perarakan menuju ke Istana Anak Bukit untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak istana untuk perhatian Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN