KUALA TERENGGANU 23 Nov. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta menjelaskan maksud tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sama ada ia bermakna ditangguhkan atau terus dibatalkan.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas, Dr. Azman Ibrahim berkata, rakyat berhak mendapatkan pendirian yang lebih terperinci dan tegas berhubung isu itu.
Katanya, baru-baru ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan adalah mustahil ICERD dilaksanakan kerana ia memerlukan pindaan Perlembagaan.
“PH tidak ada majoriti dua pertiga untuk pinda Perlembagaan. Apakah kalau ada majoriti dua pertiga, pindaan Perlembagaan akan dibuat untuk memberi laluan kepada pelaksanaan ICERD?
“Rakyat nak dapatkan pendirian yang lebih jelas dan tegas. Tapi yang jelasnya PH tidak mampu berhadapan dengan gelombang penyatuan orang Melayu untuk mempertahankan hak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas keputusan kerajaan yang menegaskan tidak akan meratifikasi ICERD sebaliknya akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri itu, kerajaan PH akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.
Sementara itu, Utusan Online gagal untuk mendapatkan reaksi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kediamannya di Rusila, Marang kerana difahamkan beliau sudah bertolak Kuala Lumpur selepas solat Jumaat petang tadi atas urusan parti. – UTUSAN ONLINE










