KUALA LUMPUR 23 Nov. – Edisi kedua ILLUMI Fest Run yang menampilkan larian unik dijangka mendapat sambutan hangat selepas menarik kira-kira 5,000 penyertaan pada penganjuran sulung, awal tahun ini.
Larian kali kedua sejauh empat kilometer dijadual berlangsung pada 2 Mac 2019 di Selangor Turf Club dengan pendaftaran awal sudah bermula.
“Lebih 5,000 pelari menyertai edisi sulung pada Januari lalu dan kami amat gembira dengan sambutan yang begitu menggalakkan di Malaysia. Oleh itu, kami akan menambah lebih banyak elemen baharu di laluan pada Mac tahun depan bagi menjadikannya ia lebih meriah. “Kami bangga untuk menjadi penganjur acara kerana ia bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat namun pada masa yang sama menghimpunkan rakyat Malaysia yang terdiri pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana yang menghiburkan,” kata Pengarah Infinitus Productions Pte Ltd, Jeffrey Foo. Bagi merancakkan edisi kedua nanti, pelari akan berpeluang untuk menyertai beberapa aktiviti lain seperti papan gelongsor gergasi membolehkan mereka menggelongsor ke dalam kolam air berwarna pada ketinggian 3 meter selain tarikan lain. Pada masa yang sama, setiap RM3 dari pendaftaran akan disalurkan kepada program ‘The Human Safety Net for Families’ iaitu sebuah gerakan global bagi membantu golongan kurang bernasib baik demi menambahbaik kehidupan mereka.- UTUSAN ONLINE











