KUALA LUMPUR 23 Nov. – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menyusun program interaktif dan praktikal yang dinamakan Agrokids sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 yang sedang berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini.

Ketua Pentadbirnya, Razana Ghazali berkata, program sedemikian mendekatkan kanak-kanak untuk melihat secara eksperimen sains dengan mudah.
Malah, menurutnya, ibu bapa yang membawa anak-anak mereka juga berpeluang menyaksikan dan turut serta melakukan demonstrasi sains ringkas seperti membuat sendiri mayonis, aiskrim, sabun dan habitat haiwan reptilia, terrarium.
“Kanak-kanak pastinya akan terhibur dengan pelbagai aktiviti praktikal yang akan dilakukan sepanjang 11 hari MAHA 2018 untuk memberi peluang melakukan eksperimen sains,” katanya ketika ditemui di Pavilion Nafas, dekat sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










