SHAH ALAM 23 Nov. – Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) akan distrukturkan semula dalam masa terdekat bagi mengembalikan kegemilangan pasukan ‘The Red Giant’ di arena bola sepak tanah air dan dipersada Asia.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri yakin usaha tersebut akan dapat dicapai di bawah pentadbiran Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin selaku Presiden FAS.
Jelas Amirudin, bagi menzahirkan sokongan kerajaan negeri terhadap kepimpinan Tengku Amir Shah, peruntukkan sebanyak RM12 juta akan diberi kepada FAS untuk tahun 2019.
“Penstrukturan baharu bola sepak Selangor ini bakal mengambil tempat dalam masa yang terdekat selepas perbincangan lanjut antara pihak yang terlibat.
“Manakala peruntukkan ini pula bagi membiayai pasukan Selangor, pasukan PKNS dan Selangor United yang akan bertanding di Liga Perdana buat pertama kali,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










