Sasterawan Kelantan Norhisham Mustafa meninggal dunia - Utusan Malaysia

Sasterawan Kelantan Norhisham Mustafa meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 23 Nov. – Sasterawan Kelantan, Norhisham Mustafa yang sebelum ini dilaporkan kritikal, disahkan meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang dan paru-paru berair di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini petang ini.

Adiknya, Mukhtar Mustafa memberitahu, Allahyarham Norhisham, 68, meninggal dunia di sisi isteri iaitu Pauziah Mah Mad Zain, 62, tiga anak mereka serta ahli keluarga terdekat pada pukul 2.14 petang.

“Arwah kritikal sejak dua hari lalu dan keluarga kami telah dimaklumkan awal oleh pihak hospital supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Pada pukul 2 petang, pihak hospital memanggil kami dan memaklumkan keadaan abang sudah nazak. Kami reda dengan pemergian arwah pada hari yang mulia iaitu Jumaat,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya, jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Kampung Pauh, Pasir Mas, berdekatan rumah mereka dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Mas selepas waktu Isyak.

Norhisham merupakan anak kelahiran Kampung Gual Periok, Rantau Panjang dan aktif menulis sejak berusia 15 tahun. Beliau menghasilkan pelbagai karya termasuk cerpen, novel, drama TV dan radio serta rencana. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN