SEREMBAN – Bantahan kuat orang Melayu menjadi antara faktor utama kerajaan memutuskan untuk membatalkan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir berkata, kerajaan menyedari bahawa orang Melayu dan bumiputera secara keseluruhan membantah ICERD yang akan mengancam hak mereka.
“Ini menunjukkan orang Melayu sememangnya kuat jika bersatu. Kesatuan dan desakan berterusan membuatkan kerajaan terpaksa membatalkan ICERD,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai perhimpuan membantah ICERD di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Bantahan bermula selepas solat Jumaat di hadapan Masjid Negeri di sini disertai kira-kira 1,000 orang.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya Pas negeri, Mustafa Daharum; Ketua Pemuda Pas negeri, Yazman Yahya dan Ketua Wanita UMNO negeri, Latifah Ali Kunjoo.
Beberapa wakil UMNO, Pas dan pertubuhan bukan kerajaan kemudian menyerahkan memorandum bantahan ICERD kepada wakil Menteri Besar, Salehudin Mohd. Nor. – K! ONLINE










