KUALA LUMPUR 21 Nov. – UMNO dan Pas sama sekali tidak bergabung sebaliknya hanya menjalinkan hubungan kerjasama bagi memperkukuh kedudukan mereka sebagai pembangkang.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerjasama itu penting bagi membolehkan dua parti pembangkang itu berdepan dengan pelbagai isu penting yang berbangkit berkaitan negara.
“Saya fikir buat masa ini kita tidak nampak secara jelas untuk Pas dan UMNO bergabung sebab ketika ini kami berbincang dan bersama pun dalam sesuatu isu.
“Kalau nak bergabung sekali pun mesti melalui Majlis Syura Ulama dan masa masih panjang untuk bincang mengenai pilihan raya kelak,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai pelawaan terbuka Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada Pas untuk bersama dalam gerakan politik ketika satu majlis ceramah di Kampung Gajah, Perak, baru-baru ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan Ahmad Zahid pada 18 November lalu telah disalahtafsirkan kerana peraturan parti menetapkan perbincangan perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum kerjasama politik dilaksanakan.
Jelasnya, beliau juga faham kegusaran yang dibangkitkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong sebelum ini berhubung kerjasama itu.
“Saya ingin menjelaskan kerjasama itu bukan bermaksud untuk melakukan penggabungan, hanya undangan untuk bergabung tenaga atas isu yang kita sama pendapat,” katanya.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin pula berkata, gabungan itu tidak akan berlaku kerana secara asasnya agenda penubuhan kedua-dua parti tersebut berbeza.
“Kita bersetuju dalam beberapa perkara seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tetapi dalam isu itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menzahirkan pandangan serupa,” katanya.











