KUALA LUMPUR 21 Nov. – Penduduk sekitar Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) dan Bukit Damansara di sini kini dapat berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui pembukaan Pejabat DBKL Cawangan Segambut hari ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, penduduk yang sebelum ini berurusan di Pejabat Cawangan TTDI dan Pejabat Cawangan Damansara kini boleh ke cawangan baharu tersebut.
Katanya, bangunan baharu yang terletak di Changkat Abang Haji Openg, TTDI itu dibina bagi melengkapkan 11 pejabat cawangan DBKL yang disediakan mengikut kawasan parlimen dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Infrastruktur serba moden dengan keluasan 919.5 meter persegi ini dilengkapi kemudahan auditorium mini yang dibuka untuk sewaan serta kemudahan kaunter pandu lalu yang akan beroperasi kelak,” katanya semasa berucap merasmikan bangunan baharu itu di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh Tseow Suan dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff. – UTUSAN ONLINE











