KAJANG – Suami kepada pengasuh bayi yang disahkan maut akibat penderaan fizikal dan seksual disambung reman kali ketiga selama tujuh hari lagi bermula esok bagi membantu siasatan kes bunuh berkenaan.
Pendaftar Mahkamah Majistret Kajang, Sharifah Fazilah Zulkifli membenarkan tempoh reman sehingga Isnin depan bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap suspek yang berusia 36 tahun.
Perintah reman bagi tempoh sama turut dikenakan kepada isteri suspek yang berusia 28 tahun itu bermula hari ini sehingga Ahad ini.
Siasatan terhadap suspek yang bekerja sebagai tukang gunting itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan bayi malang itu, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal atau mesra dengan panggilan Zara berusia 11 bulan disahkan meninggal dunia selepas dua hari dilaporkan tenat sebaik dirujuk ke Hospital Serdang pada 9 November lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, ketika dihantar ke hospital terbabit mangsa dalam keadaan kritikal dan diberikan bantuan pernafasan.
Katanya, pemeriksaan pihak hospital mendapati terdapat kesan koyakan baharu pada tisu kemaluan dan dubur mangsa.
“Laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kesan objek tumpul pada bahagian kepala dengan tempurung kepala bayi terbabit pecah, selain kesan lebam pada bahagian atas kepala mangsa.
“Selain itu, terdapat juga kesan penderaan seksual terhadap bayi berkenaan,” katanya.
Sementara itu, ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif methaphetamine.
Ibu bapa mangsa yang menetap di Bandar Baru Bangi di sini, menghantar bayi itu ke rumah pengasuh yang juga tinggal di kawasan perumahan sama sejak September lalu.
Ketika dihantar ke rumah pengasuh pada waktu pagi mangsa dalam keadaan baik.
Bagaimanapun, pada sebelah petang, mangsa dikatakan sesak nafas dan dibawa ke Klinik Bandar Baru Bangi sebelum diminta dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.
Zara selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Lubok Gong, Kelantan. – K! ONLINE











