Patuhi disiplin atau dipecat - Utusan Malaysia

Patuhi disiplin atau dipecat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 18 Nov. – Datuk Seri Anwar Ibrahim me­negaskan, PKR akan memecat mana-mana ahli atau pe­mimpin yang gagal mematuhi disiplin parti, sebaik sahaja beliau diangkat secara sah menjadi Presiden dalam Kongres Nasional PKR 2018, petang ini.

Dalam ucapan sulungnya selaku Presiden, Anwar yang bertanggungjawab mengasaskan penubuhan PKR 20 tahun lalu berkata, beliau tidak akan berkompromi dalam soal disi­plin dan ia menjadi keutamaannya, sama ada disukai atau tidak pihak tertentu dalam parti.

Katanya, pemilihan PKR yang baru sahaja berlalu sehingga mewujudkan kem di antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli adalah tidak sihat untuk parti, walaupun PKR mengangkat demokrasi kerana ia sepatutnya berlangsung dalam suasana ke­keluargaan.

“Saya tidak boleh nafikan sumbangan Mohamed Azmin dan siapa pun tidak boleh nafikan peranan Rafizi dalam pilihan raya umum. Suka atau tidak suka, kita tonjol dua pemimpin utama. Kalau pun berselisih pendapat, tidak payah gaduh dan cerca orang, ini perangai buruk.

“Saya beri amaran, terima disiplin parti atau ditendang keluar. Beza pendapat saya de­ngar, nak bantah, sergah atau undi tidak percaya (terhadap saya) silakan, tetapi nak jerit di luar, ini bukan dalam PKR. Sila hormati institusi parti.

“Saya mahu satu kebulatan (perpaduan), jangan bagi ruang orang cucuk baik dari dalam ataupun luar,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan selepas sah mengambil alih tugas memimpin parti daripada isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar juga dalam nada keras menegur sikap pemimpin parti yang disifatkan sudah lupa idealisme perjuangan selepas mula merasai nikmat memegang jawatan dan kedudukan tertentu baik di dalam PKR, apatah lagi di pe­ringkat Kabinet.

Tegas Anwar, kelompok pe­mimpin tersebut tidak boleh lupa bahawa sokongan rakyat terhadap PKR kini tidak akan berlaku jika bukan kerana pengorbanan para reformis awal terutamanya ketika era akhir 1990-an dahulu.

“Sekarang ini macam-macam menteri ada, tapi tak boleh padam susah 20 tahun dulu dan ia tidak mungkin padam. Jadi kena ingat, ada jawatan atau tidak (malangnya) tiap kali pemilihan, saya teliti bergaduh dan bertumbuk, saya kesal dan bukan begini parti yang saya hendak pimpin,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×