KUALA LUMPUR 18 Nov. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipersoalkan mengapa tidak mahu memastikan rakyat mendapat manfaat daripada kejatuhan harga minyak sawit.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana harga minyak sawit untuk bulan Disember hanya RM1,775 satu tan iaitu hampir 50 peratus lebih rendah berbanding harga akhir tahun 2016.
“Jika kerajaan PH masih tegas untuk mengurang dan memansuhkan bantuan kepada pekebun, petani dan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) kepada semua rakyat untuk tahun depan, mengapa mereka tidak mahu memastikan rakyat mendapat manfaat daripada kejatuhan harga minyak sawit.
“Adakah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sudah mula berbincang dengan pengusaha dan kilang minyak masak dalam memastikan mereka menurunkan harga jualan minyak masak mereka,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Menurut beliau, jika bantuan kepada rakyat dipotong dan dimansuhkan oleh kerajaan PH, sekurang-kurangnya rakyat boleh mendapat sedikit manfaat daripada kejatuhan harga minyak masak.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pada Oktober 2016, dalam Belanjawan 2017, kerajaan Barisan Nasional (BN) terpaksa mengehadkan subsidi minyak masak kepada pek satu kilogram berharga RM2.50 sahaja kerana harga minyak sawit naik di sekitar RM3,000 satu tan.
“Langkah itu juga diambil bagi membanteras penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran yang merugikan negara. Oleh itu, harga minyak masak pada masa itu naik kerana mengikut harga pasaran.
“Dengan penjimatan ini, kerajaan BN masa itu dapat meningkatkan pelbagai bantuan kepada rakyat termasuk BR1M,” katanya.











