KUANTAN 18 Nov. – Sekumpulan penjenayah menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dengan memecah masuk kediaman dan mengambil barangan berharga di beberapa lokasi sekitar Pahang termasuk kes terbaharu di daerah ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian terbaharu melibatkan tiga buah rumah berlaku di Seri Teruntum, Lorong Alor Akar dan Jalan Tok Gajah off Jalan Tengku Muhamad di sini, bermula pukul 12 tengah hari hingga 5 petang, Jumaat lalu.
“Kerugian dianggarkan RM150,000. Dalam tempoh lima jam, penjenayah melarikan wang tunai, beg tangan, jam tangan, telefon bimbit, komputer riba dan sebuah kereta jenis Mazda Cx-5 berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran CDM 6699.
“Suspek menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima berwarna hitam dan berpura-pura menghubungi pemilik rumah bagi mengaburi mata orang ramai sebelum memecah masuk,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam.
Menurut Mohamad Noor, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kelibat tiga lelaki dianggarkan berusia antara 20 tahun hingga 35 tahun dan dipercayai turut disertai seorang wanita yang tidak kelihatan dalam rakaman itu.
Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan penjenayah berkenaan pernah melakukan jenayah sama di Rompin dan di luar Pahang serta mereka pernah ditangkap.
Tambahnya, polis percaya kumpulan penjenayah tersebut melakukan perancangan teliti dengan menggunakan pendaftaran kenderaan palsu untuk Toyota Estima.
“Dalam kejadian terbaharu ini, mereka menggunakan nombor pendaftaran bernombor W6097R dan semakan mendapati pemilik sebenarnya turut menggunakan kenderaan Toyota Estima, kita percaya modus operandi sama digunakan sebelum ini.
“Kita sedang mengesan kereta dan suspek terbabit bagi menyelesaikan siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.











