SKUAD hoki negara berjaya menampilkan corak permainan yang menarik meskipun tewas 1-2 kepada New Zealand pada siri pertama persahabatan antarabangsa di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Bagaimanapun, masih ada beberapa perkara perlu diperbaiki skuad Malaysian Tigers yang kini menghuni tangga ke-12 dunia dalam tempoh yang ada menjelang kempen Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India bermula 28 November hingga 16 Disember ini.
Selain tidak membenarkan pihak lawan mendapat gol awal, ketua jurulatih skuad negara, Roelant Oltmans menyifatkan antara aspek yang perlu dipertingkatkan lagi ialah cara untuk mendapatkan jaringan.
“Ada beberapa kelemahan terutama jaringan gol dan kami akan cuba memperbaikinya dalam dua baki perlawanan persahabatan menentang New Zealand selepas ini.
“Aksi persahabatan ini amat baik buat kami dalam misi pendedahan kepada para pemain sebelum ke Piala Dunia nanti,” katanya selepas tamat aksi persahabatan semalam.
The Black Sticks mendapat dua gol awal dalam perlawanan itu menerusi jaringan padang Stephen Jenness dan Aidan Sarikaya pada minit kedua serta 17.
Skuad negara berjaya bangkit merapatkan jurang dengan pasukan No. 9 dunia itu melalui Faizal Saari yang memanfaatkan penalti stroke pada minit ke-22.
Malaysian Tigers hampir menyamakan kedudukan sebelum tamat perlawanan, namun gagal menyudahkan peluang-peluang di hadapan gawang gol New Zealand pada suku masa ketiga serta keempat permainan.
Skuad negara akan meneruskan baki dua aksi persahabatan dengan New Zealand pada Selasa dan Khamis ini.
Sebagai rekod, Malaysian Tigers diundi dalam Kumpulan D bersama naib juara empat tahun lalu, Belanda (No. 4 dunia), Jerman (No. 6 dunia) dan Pakistan (No. 13 dunia) pada Piala Dunia 2018.











