KOTA BELUD 16 Nov. – Sikap panas baran seorang bapa mengundang padah apabila dia ditahan polis selepas dipercayai menetak dua anaknya di sebuah rumah di Kampung Rantai Rosok, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa Admi Sabidang, 22, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan adiknya, Melia,15, masing-masing cedera di tangan kiri.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Mohd. Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada pergaduhan antara dua beradik berkenaan selepas selesai makan malam.
“Kedua-dua mangsa dikatakan bergaduh selepas Melia menegur abangnya yang baru pulang minum arak dan meludah di kawasan rumah.
“Pergaduhan itu berlarutan hingga menyebabkan suspek naik angin dan mengeluarkan parang untuk menakutkan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Zaidi memberitahu, suspek pada awalnya hanya mengacah untuk menetak anak lelakinya namun dihalang anak perempuannya sehingga menyebabkan kedua-dua mangsa terkena parang di tangan kiri.
Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudiannya meminta bantuan daripada makcik mereka yang tinggal berdekatan, manakala suspek pula melarikan diri.
“Semasa kejadian, suspek dalam keadaan sedar dan tidak mabuk, bagaimanapun suspek seorang yang panas baran.
“Selepas kejadian, kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Kota Belud sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut,” jelasnya.
Tambah Mohd. Zaidi, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











