AMK tiada masalah dengan ICERD - Utusan Malaysia

AMK tiada masalah dengan ICERD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak mempunyai masalah sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) selagi ia tidak mengganggu Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara tersebut telah dijelaskan oleh kerajaan bahawa tindakan meratifikasi tersebut tidak akan menjejaskan perkara-perkara berkaitan hak istimewa Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

“Pendirian saya, sekiranya kerajaan menandatanganinya tetapi tidak menjejaskan Perlembagaan Persekutuan, saya tiada masalah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan AMK ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini.

Nik Nazmi berkata, Perlembagaan Persekutuan telah menggariskan secara nyata mengenai hak semua kaum di negara ini namun ia tidak difahami oleh mereka yang tidak membacanya.

“Ramai yang tidak membaca perlembagaan. Terkandung di dalamnya mengenai hak warganegara, iaitu berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak serta hak-hak sah lain-lain kaum.

“Orang hanya mahu baca tentang bahagian pertama Perkara 153 tetapi tidak selebihnya. Kerajaan boleh menandatangani ICERD tetapi masih melindungi Perkara 153,” katanya.

Menurut beliau, negara Singapura juga melindungi kedudukan istimewa orang Melayu kerana ia terkandung dalam Perkara 152 perlembagaan negara berkenaan.

Sementara itu, menurut Nik Nazmi, Malaysia juga sepatutnya berusaha ke arah menandatangani dan mengesahkan konvensyen-konvensyen antarabangsa.

Katanya, terdapat pelbagai isu yang memerlukan perhatian segera, antaranya berkaitan masyarakat Rohingya yang ditindas kerajaan Myanmar, isu Palestin serta etnik Uyghur di China. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×