Warga emas didakwa cabul cucu tiri - Utusan Malaysia

Warga emas didakwa cabul cucu tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencabul seorang cucu perempuan tirinya di sebuah rumah di Lukut dekat sini, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Othman Dahan, 68, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Khairiah Abd. Razak.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Damia Amani Mohd. Azam, 4, (semasa kejadian) dengan maksud mencabul kehormatannya di sebuah rumah di Rumah Rakyat Pekan Lukut di sini antara Januari hingga Jun 2015.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Pendakwa Raya, A.Ashwini mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Othman yang tidak diwakili peguam bela merayu  agar jumlah jaminan dikurangkan.

Bagaimanapun, pihak pendakwa menawarkan wang ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan tersebut. 

Siti Khairiah menetapkan 17 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh menjelaskan bayaran ikat jamin pada hari sama.

Mengikut laporan media sebelum ini, Damia Amani meninggal dunia akibat ditendang pada dada oleh ibu tirinya, Siti Zabrina Adin, 43, dalam kejadian di Taman Lukut Makmur, Lukut di sini pada 7 Ogos 2015.

Pada April 2017, Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Siti Zabrina kerana didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat mangsa.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada November tahun sama menambah hukuman penjara kepada 15 tahun terhadap bekas operator  pengeluaran wanita terbabit  berhubung kesalahan sama.

Terdahulu, difahamkan Damia Amani berada di bawah jagaan Othman sebelum diambil dan dijaga oleh Siti Zabrina. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×