Kerajaan kaji idea mata wang kripto - Utusan Malaysia

Kerajaan kaji idea mata wang kripto

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Kerajaan sedang mengkaji idea mengenai mata wang kripto, khususnya berhubung fungsi yang mungkin digantikannya, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Itu adalah pendapat beliau (tetapi) kami akan memulakannya (pertimbang),” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa, Christine Lagarde bahawa kemungkinan bank pusat di seluruh dunia mempertimbangkan bagi mengeluarkan mata wang digital.

Pelbagai bank pusat di seluruh dunia sedang meneliti idea itu secara serius, termasuk Kanada, China, Sweden dan Uruguay.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Secara umumnya, kami memikirkan perkara itu malah kerajaan juga meneliti mengenainya, untuk mengenal pasti fungsi yang ia (akan) gantikan,” katanya pada hari terakhir lawatan beliau ke Singapura hari ini.

Mengenai Harapan Coin, Dr. Mahathir berkata, ia belum lagi difikirkan secara mendalam.

“Kami mungkin menerimanya…bagaimanapun bergantung kepada sebaik mana ia berfungsi,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Bank Negara akan bersetuju dengan cadangan mengenai Harapan Coin itu, beliau berkata, beliau belum berbincang dengan Bank Negara.

Mata wang kripto atau mata wang digital merupakan wang tidak sah di Malaysia.

Dr. Mahathir juga berkata, perkara yang lebih menarik berbanding mata wang kripto adalah masyarakat tanpa tunai.

“Lebih menarik adalah masyarakat tanpa tunai India. Mereka tidak menggunakan sebarang wang.

“Apabila wang tidak digunakan, rasuah dapat dikekang,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, beliau memberi idea mengenai Mata Wang Asia Timur yang sama, namun hanya terhad untuk tujuan perdagangan dan bukan bagi penggunaan domestik semasa Sidang Kemuncak ASEAN+3 (China, Jepun dan Korea Selatan).

“Ini merupakan idea lama saya. Saya memberitahu bahawa kita perlu mempunyai Mata Wang Asia Timur untuk perdagangan bukan untuk digunakan di peringkat domestik.

“Itu adalah cadangan lama saya. Saya berpandangan bahawa ini merupakan sesuatu yang akan membolehkan, malah negara asing, menangani masalah tidak mempunyai tukaran asing yang mencukupi,” katanya.

Mengenai perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, beliau berkata, negara ASEAN bimbang berhubung kemelut itu.

“China sendiri tidak mahu perang perdagangan itu (memandangkan) ia merasakan kemelut tersebut tidak menyumbang kepada pembangunan keamanan di rantau ini,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×