LONDON 15 Nov. – Novak Djokovic diberi julukan baharu, Mr Bendy, sejurus menundukkan Alexander Zverev untuk mara ke separuh akhir ATP Final di O2 Arena, hari ini.
Pemain No. 1 dunia dari Serbia itu membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri ketika mengalahkan bakat besar dari Jerman, Zverev 6-4, 6-1.
Djokovic, 31, mampu mengejar setiap pukulan lawan, malah mempamer aksi agresif sekalipun berdepan pencabar yang 10 tahun lebih muda.
“Jadi, sekarang saya adalah Mr Bendy?,” kata Djokovic sambil ketawa ketika diberitahu dia diberi gelaran baharu kerana permainannya yang fleksibel.
Menurut Djokovic dia mendapat pelbagai gelaran sejak kecil, namun Mr Bendy, julukan yang diberikan bekas bintang tenis England yang kini menjadi penganalisis sukan, Annabel Croft cukup menghiburkan.
“Ini kali pertama saya dengar tentang Mr Bendy tetapi ya, saya akui…Saya bergantung kepada fleksibiliti dalam permainan dan bertuah kerana dikelilingi mereka yang banyak membantu,” ujarnya.
Kemenangan ke atas Zverev, jaguh No. 5 dunia yang dianggap pemain terbaik generasinya membuktikan, Djokovic masih sukar digugat dalam masa terdekat.
Selain Djokovic, dua lagi pemain seangkatannya – Roger Federer, 37, dan Rafael Nadal, 32, jelas memiliki jurang besar untuk dikejar pemain-pemain muda.
Djokovic, pemilik 14 gelaran Grand Slam kini memburu kejuaraan ATP Final keenamnya sejak kali pertama muncul juara pada 2008. – AGENSI











