TOKYO 15 Nov. – Jepun baru-baru ini melantik Menteri Keselamatan Siber dan Olimpik yang memberitahu Parlimen bahawa dia tidak pernah menggunakan komputer sepanjang hidupnya.
Yoshitaka Sakurada, 68 tahun yang mengalas tugas berkenaan bakal bertanggungjawab memastikan keselamatan siber menjelang persediaan Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Pelantikan tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dua bulan lalu dan ini adalah kali pertama Yoshitaka Sakurada berada dalam kabinet sepanjang 18 tahun berada di Parlimen.
Menteri berkenaan telah mendedahkan dalam mesyuarat jawatankuasa Parlimen pada semalam bahawa dia tidak pernah menggunakan komputer.
“Saya telah berdikari sejak berusia 25 tahun dan sentiasa merujuk kepada pekerja saya dan setiausaha untuk melakukan perkara berkenaan (menggunakan komputer).
“Saya tidak pernah menggunakan komputer,” kata Yoshitaka Sakurada.
Beliau turut memberitahu bahawa dia sedar tugasan bakal dipikulnya adalah untuk memastikan keselamatan siber iaitu berkaitan penggunaan komputer.
Bagaimanapun, Yoshitaka Sakurada meyakinkan bahawa tugasan berkenaan akan dibantu oleh pihak polis yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan, sekali gus tidak menjadi masalah buat dia menjalankan tanggungjawab tersebut. – REUTERS











