Antara spesies tumbuhan penyembuh kanser - Utusan Malaysia

Antara spesies tumbuhan penyembuh kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendedahkan jumlah kematian akibat penyakit kanser di hospital kerajaan di negara ini meningkat sebanyak 50 peratus sejak 1996.

Menurut beliau, hanya 8.9 peratus kematian sahaja direkodkan 20 tahun lalu berbanding 13.6 peratus yang dicatatkan pada 2016.

Kata beliau, kanser adalah masalah kesihatan serius yang menunjukkan peningkatan di seluruh dunia termasuk Malaysia.

--
 

Katanya, berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan pada 2016, kanser adalah punca kematian ketiga tertinggi di hospital kerajaan di negara ini.

Kes terbanyak bagi lelaki adalah kanser usus dan kanser paru-paru manakala bagi wanita kanser payu dara dan kanser usus.

Antara punca dikaitkan dengan peningkatan kanser adalah makanan, minuman dan udara disedut orang ramai yang telah dicemari pelbagai jenis bahan kimia akibat daripada arus pembangunan.

Situasi itu menyebabkan tubuh dipenuhi toksin yang melemahkan sistem imunisasi bagi melawan penyakit secara semula jadi.

Seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, langkah membanteras kanser adalah tanggungjawab pelbagai pihak, maka Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong, Selangor telah melakukan kajian mengenai tumbuh-tumbuhan yang dapat merawat pelbagai penyakit termasuk barah.

Tumbuh-tumbuhan berkenaan mempunyai bahan kimia dikenali sebagai cytotoxic yang beracun kepada sel kanser dan dapat menghalangnya daripada membiak dengan banyak.

Kaedah rawatan paling lumrah untuk pesakit kanser iaitu kemoterapi menggunakan bahan kimia ini sama ada dimakan, suntikan atau disapu pada kulit. Bahan kimia untuk kemoterapi kebanyakan adalah buatan manusia dan bukan semula jadi. Kajian oleh FRIM akan membolehkan bahan cytotoxic diperoleh secara semula jadi daripada tumbuh-tumbuhan.

Adalah diharapkan penggunaan bahan kimia daripada sumber semula jadi akan dapat mengurangkan kesan buruk kemoterapi seperti pendarahan mulut dan rongga lain pada tubuh, kulit menjadi bersisik dan berkedut, keguguran rambut, muntah-muntah serta hilang selera makan.

Cukup unik kerana tumbuh-tumbuhan berkenaan boleh diperoleh di FRIM, tanpa memerlukan seseorang itu bersusah payah masuk ke dalam hutan di negara ini yang mempunyai kira-kira 1,230 spesies tumbuh-tumbuhan untuk tujuan perubatan.

Spesies berkenan semakin berkurangan dan salah satu cara untuk memastikan tumbuh-tumbuhan terbabit tidak pupus adalah menanamnya di tempat khas seperti dilakukan oleh FRIM.

FRIM yang ditubuhkan pada 1929 adalah satu-satunya badan di Malaysia yang menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menyokong sektor perhutanan dan mengarusperdanakan sumber asli negara dengan 70 peratus kawasan institut itu adalah hutan yang ditanam semula.

Jilid kedua buku ini menampilkan 15 lagi tumbuh-tumbuhan yang bermanfaat untuk tujuan perubatan iaitu sama bilangan dengan yang telah ditampilkan ketika penerbitan jilid pertama pada 2016.

Antara pokok yang bermanfaat untuk merawat kanser adalah saga atau dikenali secara saintifik sebagai Adenanthera pavonina. Saga yang berasal dari Asia Selatan dengan biji berwarna merah terang juga menjadi nama kereta pertama buatan Malaysia iaitu Proton Saga.

Kulit daripada batang saga digunakan secara tradisi untuk merawat kusta dan kajian terbaharu ahli sains mendapati bahan kimia metanol daripada daun dapat membunuh sel kanser tulang.

Satu lagi adalah keledang atau nangka pipit. Kayu daripada pokok ini sangat keras dan tahan lama. Sebab itu sering digunakan untuk membuat perahu dan perabot.

Kajian ahli sains mendapati bahan kimia daripada daun keledang seperti artobiloxanthone dan cycloartobiloxanthone bermanfaat untuk merawat leukemia (kanser darah).

Satu lagi pokok bermanfaat yang sering ditanam orang Melayu adalah belimbing buluh yang berasal dari Malaysia dan Indonesia. Buah belimbing jarang dimakan segar kerana rasanya terlalu masam.

Penyelidikan ahli sains mendapati metanol daripada buahnya mempunyai keupayaan untuk merawat kanser walaupun banyak lagi kajian perlu dilakukan untuk mengesahkan keberkesanannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×