MALAM tadi abang hensem disapa oleh anak nombor empat, Yasmin Hana.
Katanya, ada rakan sebiliknya di kampus bercerita dia sangat takut dengan bapanya. Garang.
“Ayah aku orangnya serius…kalau time makan bersama-sama, semua adik beradik aku hadap makanan saja. Tak boleh bersembang, sampaikan kami semua akan pastikan sudu, garpu tak jatuhlah dari meja makan,” kata anak perempuan manja abang hensem itu memetik cerita kawannya.
Yasmin kemudian tanya abang hensem: “Kalau abah jadi anak bapa kawan Kak Min tu macam mana?
Abang hensem pantas menjawab: “Kalau abahlah, abah akan beli sudu plastik saja, habis cerita,” menyebabkan anak abang hensem tertawa kuat, sambil berkata “tak sangka jawapan abah macam itu, lawaklah.”
Bagi abang hensem, hidup berkeluarga, kena diharmonikan. Buat apa nak garang dengan anak-anak. Kalau begitulah cara ketua keluarga handle anak-anak sampai takut atau tak selesa, kesianlah mereka.
Pada siapa mereka nak mengadu. Kawan-kawan? Atau pakcik dan makcik mereka. Mak saudara, pak saudara pun ada anak masing-masing.
Nanti asal nak balik rumah saja, baru sampai pintu pagar, sudah stres. Teringat abang hensem pada kisah seorang artis popular yang hidup berumahtangga selama berpuluh tahun dibelenggu si suami yang panas baran.
Mungkin, anak-anak saja ‘penyelamat’ rumahtangganya.
Isshh! kalau abang hensem ini perempuanlah jumpa lelaki sebegini rupa, alamat abang hensem tuntut cerailah. Boleh gitu kau buat kat aku.
Sepanjang hidup ini, sudah biasa abang hensem dengar kisah-kisah rumahtangga yang macam-macam ni. Reporterlah kan.
Isnin lepas abang hensem dikejutkan dengan insiden isteri dikelar dan ditikam suami. Hai! hairan sungguh. Waktu bercinta cintun dulu tak cam tu ek.
Tapi pesan abang hensem satu. Tinggalkan saja lelaki begini. Nanti hidup sentiasa dihambat lelaki psikotik, mental ini.
Bukan saja diri merana, anak-anak pun akan jadi mangsa. Dari masalah berjangkit-jangkit, elok padam saja kenangan cinta dengannya di awal alam rumahtangga.
Apa? Bukan senang. Ya! abang hensem akui mudah, apatah lagi kalau anak sudah masuk dua. Tapi, tepuk dada tanya hati. Kalau cinta sudah tiada, hidup pun melilau bercakap sorang-sorang, kesianlah anak-anak dan orang tua kita.
Kepada Yasmin tadi, abang hensem minta dia nasihat yang betul kepada kawannya:
“Hormati ayahnya…mungkin cara didikan tegas itulah yang membawanya ke menara gading. Tentang perangai garang ayahnya itu, itu kenangan terindah. Jangan risau sangat…tahan sajalah…sebab kau (kawannya) pun bukan ada selalu di rumah kan. Hujung bulan ni kan dah masuk balik kampus, (sambung semester 2).”
Yasmin sambung ketawa sambil menunjukkan isyarat good.











