SALAM bahagia buat Yang Berhormat (YB) Dr. sebagai Menteri Pendidikan (MP) bagi kerajaan dalam fajar yang baru ini. Juga salam buat semua ahli kabinet termasuk YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri yang dikasihi.
Terlebih dahulu penulis memohon maaf andai dalam penyampaian bicara yang sejujurnya nanti terselit jua sesuatu yang pahit walaupun penulis percaya buahnya manis. Sebaik sahaja YB menjawat jawatan sebagai MP penulis dan rakan-rakan seperjuangan telah berusaha melalui para pegawai YB untuk mendapatkan tarikh janji temu bersama-sama YB. Penetapan tarikh juga akhirnya tercapai setelah kira-kira tiga bulan menanti walaupun mungkin bukan satu penyiksaan kerana seperti biasa pihak kami selalu wajib dalam keadaan siap siaga untuk tugas penantian seperti ini. Kami perlu berbanyak-banyak bersabar bagi menyampaikan bukan hasrat kami semata-mata, bukan menyampaikan kertas untuk mendapatkan apa-apa projek dengan jumlah jutaan ringgit mahupun sepuluh ringgit tetapi menyampaikan hasrat jutaan rakyat Malaysia termasuk yang bakal mewarisi pimpinan daripada kabinet yang ada sekarang. Terima kasih yang tidak terhingga atas kesudian YB meluangkan masa buat kami di samping sedikit juadah ikhlas yang dihidang buat sarapan pada pagi tersebut. Setiap wakil badan bukan kerajaan yang hadir telah menyatakan apa yang penting dan sempat dalam keterbatasan waktu yang telah diberi tersebut.
Antara perkara yang telah kami sentuh dalam pertemuan mesra tersebut adalah tentang isu-isu pendidikan yang dasar dan asas seperti peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu termasuk bagi bidang sains dan teknologi dari peringkat sekolah sehingga ke universiti tempatan yang berjumlah kira-kira dua-puluh buah tersebut, isu Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI yang telah dimansuhkan oleh Menteri Pendidikan merangkap Timbalan Perdana Menteri terdahulu, YAB Tan Sri Hj. Muhyiddin Hj. Yassin yang turut berada dalam kabinet baru). Tetapi kini kira-kira setahun lalu PPSMI telah “menjelma” kembali dengan baju baharu dengan nama “Program Dwibahasa” atau lebih dikenali dengan “dual-language programme”, singkatan popularnya “DLP”.
Sebenarnya telahpun kami jelaskan dalam pertemuan tersebut bahawa pengenalan DLP oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada sekolah-sekolah seluruh Malaysia (secara terhad pada awalnya) adalah dengan penuh helah atau “muslihat”. Bermula dengan kira-kira 6 soalan soal selidik, pemakluman hanya dalam akhbar berbahasa Inggeris, kaedah menjawab melalui internet yang terhad capaiannya kepada mereka yang celik komputer dan majoriti di bandar, terbuka kepada “manipulasi” kerana boleh dijawab secara berulang-kali walaupun oleh responden yang sama dan lain-lain lagi. Malah pelaksanaan DLP juga awalnya secara “senyap dan sunyi”. Kami percaya ini dibimbangi akan menimbulkan protes yang bertalu-talu seperti protes PPSMI terdahulu.
Maafkan penulis kerana tidak pasti sama ada YB sedang menuntut di seberang laut atau berada dalam negara semasa protes PPSMI dalam tahun 2003-2009 berlangsung dalam media cetak tegasnya “akhbar nyamuk” (akhbar perdana lebih berusaha menggelapkan isu ini pada awalnya), media sosial, seminar, forum, konvensyen di serata ceruk tanah air oleh pelbagai pihak sama ada parti politik (tentunya pembangkang pada ketika itu), badan-badan bukan kerajaan termasuk persatuan seperti Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Persatuan Penulis Nasional (PENA), Angkatan Belia Islam (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), persatuan-persatuan mahasiswa di universiti dan sebagainya. Kemuncak protes ialah perarakan 100,000 rakyat dari Masjid Negara ke Istana Negara, Kuala Lumpur untuk menyembahkan “Memorandum Bantahan PPSMI” kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Perarakan diketuai oleh Datuk Hassan Haji Ahmad, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka merangkap Pengerusi Yayasan Karyawan Malaysia yang telah menerbitkan sejumlah karya agung sastera Melayu di Malaysia. Perarakan turut dipimpin oleh Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said, para profesor universiti dari pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi, ahli badan-badan penulis, badan bukan kerajaan, kesatuan sekerja dan yang terbanyak rakyat marhaen. Siapapun mereka tidak penting. Yang penting ialah mereka sebagai rakyat Malaysia yang sedar dan insaf akan jati diri negara ini serta arif tentang sejarah dan segala tamadun di dunia ini telah dibangunkan dengan jayanya dengan menggunakan bahasa bangsanya sendiri dan bukan menggunakan bahasa bangsa lain. Lihatlah tamadun Arab dan lain-lain malah Inggeris sendiri yang maju dengan bahasa sendiri bukan dengan bahasa Latin. Oleh itu mereka mahu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi juga dibangunkan bagi kepustakaan ilmu termasuk bidang sains dan teknologi di Malaysia dan tidak terkubur di negara sendiri.
Penulis percaya sebagai seorang yang bijaksana pastinya YB tidak mahu mengambil tindakan yang terburu-buru yang mungkin terpaksa diubah kemudian nanti atau dalam bahasa mudahnya berlaku “flip-flop”. Tentulah jika itu terjadi maka amat memalukan YB malah KPM dan seluruh kabinet. Malah Malaysia akan ditertawakan. Namun jika YB merenung sejenak, YB akan jelas berdasarkan fakta yang telah dan pernah dikemukakan. Tidak kurang daripada 3000 muka surat penjelasan, laporan kajian dan penyelidikan serta forum, debat dan lain-lain menjelaskan bahawa PPSMI adalah satu kesilapan besar kerajaan pada ketika itu. Akhirnya sebab itulah PPSMI dimansuhkan berdasarkan kajian pelbagai pihak termasuk universiti dan badan ”PEMBINA” dengan hujah yang terang lagi bersuluh bahawa PPSMI menimbulkan kesan negatif yang besar bagi pelajar di Malaysia khususnya pelajar Melayu kerana sekolah kebangsaan dan menengah kebangsaan melaksanakan PPSMI secara terpaksa sedangkan sekolah jenis kebangsaan Cina tetap mengajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda, Cina (di samping bahasa Inggeris yang dipaksakan) dan ini menyebabkan prestasi mereka kurang terjejas dan kurang memprotes. Dan ini adalah fakta yang YB tidak boleh nafikan sekali-kali. Oleh itu “DLP” wajib ditolak dan dimansuhkan serta-merta. Penulis dan rakan-rakan sejak dari awal pemansuhan PPSMI lagi percaya akibat pemansuhan secara beransur-ansur atau “soft-landing” tersebutlah maka DLP berpeluang dikemukakan oleh “PEMANDU” di Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama “PADU” di KPM kononnya sebagai program dan sukarela berbanding PPSMI yang “dipaksa”. Sebenarnya paksaan atau sukarela bukanlah isu dasar yang terpenting dalam hal ini, yang jelas ialah kedua-duanya adalah sebenarnya sama iaitu melibatkan dasar pendidikan yang utama iaitu mengajar sains dan matematik serta teknologi dalam bahasa Inggeris. Jadi ini adalah umpama “rompakan di siang hari” oleh KPM sendiri yang mencabul keputusan pemansuhan PPSMI walaupun oleh kerajaan lama iaitu BN dengan menteri yang berkenaan masih kekal dalam kabinet baharu kerajaan PH sekarang. Sepatutnya KPM menasihatkan menterinya yang baharu tentang dasar utama pendidikan dan sebagainya dan bukan turut mengambil peluang melanggar segala dasar, undang-undang, akta berkaitan kerana wujudnya “Napoleon” dalam bahagian-bahagian tertentu. Kita percaya tidak sedikit undian memihak kepada PH adalah dengan harapan untuk membaiki segala keburukan kerajaan terdahulu termasuk membatalkan DLP. Malang sekali jika kerajaan PH tetap meneruskan salah satu keburukan kerajaan lalu iaitu DLP ini. Berubahlah segera kerana dikhuatiri undian rakyat mungkin berubah pula kepada pihak lain dalam PRU akan datang.
Baru-baru ini YB berpeluang bersama-sama Perdana Menteri dalam lawatan kerja ke Jepun. Penulis yang pernah tinggal di sana kira-kira dua tahun, dua-puluh lima tahun lalu dan masih mengagumi budaya dan kemajuan bangsa dan negara Jepun serta masih berulang-alik ke sana tidak kurang daripada sepuluh kali, tidak terkejut dan bangga sekali bahawa YB turut terpesona, prihatin dan terpanggil untuk mengadaptasi tentang penyediaan makanan oleh sekolah Jepun untuk dilaksanakan di Malaysia. Syabas buat YB. Tetapi dalam masa yang sama penulis tidak pasti sama ada YB turut terkesan atau tidak akan bangsa Jepun yang amat berbangga dengan bahasanya. Memang kita tahu Jepun amat maju sekarang. Tetapi umpama pepatah “Rom tidak dibina dalam masa sehari”, tidakkah seribu langkah bermula dengan langkah yang pertama?. Malah Tun Mahathir yang dahulunya memperkenal Dasar Pandang ke Timur (DPT) pun seolah-olah terlepas pandang akan hal-hal kebahasaan orang Jepun yang amat berbangga dan memartabat bahasa dan budayanya secara bersungguh dan menyeluruh sama ada di negara Jepun sendiri mahupun di luar Jepun. Atau Tun sendiri terlupa bahawa bahasa Melayu pernah dan mampu menjadi bahasa sains dan teknologi jika semangat “Malaysia Boleh” diamal dalam konteks ini, mengikut acuan sendiri. YB renunglah, jika asalnya pada 1970-2003 Matematik, Matematik Tambahan, Sains, Sains Tambahan, Sains Pertanian, Fizik, Kimia, Biologi, pelbagai Kejuruteraan dan Teknologi di sekolah hingga universiti diajar dalam bahasa Melayu, tidakkah hancur bahasa Melayu tersebut sebagai bahasa ilmu sains dan teknologi apabila semuanya semasa PPSMI dan kini DLP dan segala macam diajar dalam bahasa Inggeris?. MRSM juga turut terlibat menghancurkan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi. Aduhai malangnya nasibmu bahasa Melayu. Dibenci pimpinan bangsa sendiri. Pengajaran sains dan matematik di kolej-kolej matrikulasi KPM pun ditukar kepada bahasa Inggeris sejak PPSMI oleh pimpinan martikulasi yang turut “kemabukan bahasa Inggeris. Dan yang terbaharu, mulai 2018 Perakaunan Matrikulasi juga ditukar kepada bahasa Inggeris. Penulis yang pernah mengurus pengambilan pelajar matrikulasi seluruh negara mendapati sejak 1999 hingga 2017, tidak kurang daripada 30,000 lulusan perakaunan matrikulasi berjaya ke universiti tanpa sebarang masalah pun, jadi mengapakah tiba-tiba dasar bahasa pengajaran ditukar dan hanya dibuat oleh pimpinan peringkat bahagian KPM sedangkan perubahan dasar seharusnya oleh Menteri dan dibawa dahulu ke Parlimen?. Hanya atas sebab peribadi atau bangun dari mimpi maka semuanya mahu ditukar.
Marilah YB kita menoleh sejarah kejayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di fakulti sains, kejuruteraan, perubatan, pergigian dan lain-lain sejak Dasar Pelajaran Kebangsaan 1970 dahulu. Segalanya telah memungkinkan medium bahasa Inggeris ditukar beransur-ansur kepada bahasa Melayu sehingga lengkap pada tahun 1982 dahulu atas usaha mantan Menteri Pelajaran pada ketika DPK mula dilaksanakan. Almarhum Tun Abdul Rahman Yaakob telah meletakkan asas yang begitu baik bagi pendidikan di Malaysia. Kini sudah terbalik kuang kata orang utara. Malangnya tidak sampai tiga dekad tangan-tangan pemimpin kita sendiri telah memusnahkan segala yang baik itu tanpa menghiraukan segala teguran dan pandangan para pakar pendidikan, pakar bahasa, pakar pedagogi, saintis, sasterawan, budayawan dan cendekiawan. Dan kerana PPSMI, kepustakaan bahasa Melayu terbantut kira-kira tujuh tahun.
Penulis percaya dalam lawatan ke Jepun baru-baru ini, YB telah melihat dan mendengar dengan mata kepala sendiri bahawa Jepun amat menghargai bahasa dan budayanya. Walaupun mereka fasih bahasa Inggeris termasuk Perdana Menteri dan profesornya, bahasa Jepun tetap digunakan dalam keadaan rasmi dan penterjemah disediakan. Jepun yang diketahui amat menghargai masa hingga ke minit dan saat terhampir tetap bersedia “membuang” masa dengan “acara” menterjemah demi memberi maruah kepada bahasanya dalam segala majlis sedangkan mereka bisa saja terus menggunakan bahasa Inggeris untuk kelancaran dan penjimatan masa. Nah, apa lagi yang perlu kami hujahkan jika YB sendiri dapat merenung dengan mata hati akan kebenaran yang telah dilihat di Jepun? Tirulah Jepun dan lain-lain. Pandang ke timur tetapi pandang juga sikap positif mereka terhadap bahasa sendiri. Marilah YB bersama-sama kita, berbangga dan megah sejujur-jujurnya dengan bahasa negara kita di samping kita menguasai pelbagai bahasa lain.
Percayalah YB, belum terlambat untuk membetulkan segala-galanya walaupun mungkin akan kedapatan satu dua kendala. Tetapi pembetulan perlu dilakukan segera, batalkan DLP, walaupun mungkin terdapat sedikit risiko tentangan terutama daripada kumpulan “anglophile” yang sentiasa mencari-cari peluang untuk meletakkan neraca dan jarum mereka. Bagi mereka, lulus jarum luluslah kelindan. Kita perlu menguasai bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain dengan cara atau kaedah yang betul tetapi kita tidak perlu “mabuk” akan bahasa Inggeris. Kami bersedia di sisi untuk mempertahan YB.
YB, sebelum mengundur diri izinkan penulis nyatakan rasa terkilan rakan-rakan apabila YB difahamkan tentang “adanya” orang yang membantah akan keahlian Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan disebabkan diri individu tersebut tidak terpilih. Maka kami secara sendiri-sendiri telah melakukan “inkuiri dalaman” dan mendapati bahawa sama ada YB telah tersalah faham atau telah dinasihatkan secara tidak jelas, tegasnya secara mengelirukan kerana sebenarnya tidak ada seorang pun ahli, profesor dan lain-lain yang berhajat akan keahlian tersebut kecuali mungkin sekadar dicalonkan oleh anggota lain atas kepakaran yang dimiliki. Semua ini dipercayai berpunca daripada kritikan akan pemilihan anggota majlis tersebut yang jelas majoritinya kecuali pengerusi merupakan penyokong tegar PPSMI atau pelopor DLP bagi KPM. Mana mungkin kita mengharapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu sains dan teknologi akan terbela oleh mereka yang kelihatannya tidak insaf bahawa bahasa Melayu bukan sahaja mampu hatta pernah menjadi bahasa sains dan teknologi di universiti. Telah terbukti dahulu Fakulti Pergigian Universiti Malaya pernah diiktiraf badan berwibawa di England walaupun kuliahnya dalam bahasa Melayu. YB pasti bersetuju bahawa kualiti bukan terletak kepada bahasa penghantar tetapi kepada kandungannya. Jika “hampas” yang dikuliahkan walaupun dalam bahasa Inggeris, hampaslah mutunya. Senario lain seperti keadilan juga begitu. Keadilan bukan hanya dalam bahasa Inggeris. Jika begitu, semua perbicaraan di mahkamah Jepun, Korea, China, Jerman, Sepanyol, Perancis tidaklah adil?. Semua bahasa di dunia mempunyai kekuatan tersendiri dan kekurangan yang bisa ditampung dengan proses serapan atau pinjam-terjemah yang berperanan membantu sesuatu bahasa itu berkembang. Bahasa Inggeris juga asalnya bahasa petani yang diperjuang dan diangkat oleh bangsanya menggantikan bahasa Anglo-Saxon, Latin yang begitu agung satu ketika dulu bagi golongan bangsawan di sana. Jika tidak pastinya bahasa Inggeris juga akan terkial-kial masa kini. Penulis pasti YB tidak mahu bahasa Melayu “dinasibkan” seperti bahasa Anglo-Saxon atau Latin itu?
YB, merujuk tentang isu DBP pula, alhamdulillah, walaupun agak lambat sudah kelihatan iklan bagi jawatan Ketua Pengarahnya. Penulis tidaklah berhajat akan jawatan itu. Alangkan yang hampir dengan pintunya pun belum tentu layak, apatah lagi penulis yang jauh panggang dari api. Semoga lantikannya daripada tokoh yang berwibawa dan bersemangat untuk mengembalikan maruah dan kegemilangan DBP serta bahasa Melayu setelah “ditidurkan dengan agak lama. DBP dibiarkan gersang kira-kira tiga tahun lamanya sehingga menimbulkan keresahan banyak kalangan di luar dan di dalam yang cinta akan kegemilangan kepustakaan ilmu berbahasa Melayu. Saran para Sasterawan Negara dan lain-lain tentang keperluan akan Ketua Pengarah DBP dengan kriteria tertentu beberapa tahun lalu dipandang sepi umpama masuk di telinga kiri keluar di telinga kanan oleh pimpinan utama kerajaan dahulu dan juga kerajaan baru sehingga saat ini. Amat malang jika salah satu kriteria yang ditetapkan ialah keupayaan untuk mengangguk dan mengiyakan apa sahaja kehendak pimpinan negara atau sang menteri sekalipun boleh menguburkan bahasa Melayu di Menara DBP sendiri seperti yang hampir berlaku sebelum ini sedangkan seluruh negara kenal akan beberapa tokoh Ketua Pengarahnya seperti Panglima Bahasa, Tun Syed Nasir yang lahir di situ. Begitu juga dengan Datuk Hassan Haji Ahmad yang tidak segan silu mengepalai perarakan jalanan 100,000 rakyat, Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said juga mantan karyawan di DBP, Profesor Abdullah Hassan, Profesor Shaharir Mat Zain, Cikgu Azmi Abdul Hamid, Hasni Abas, (sekadar menyebut beberapa nama) pimpinan ABIM, PKPIM, pimpinan PAS dan lain-lain serta penulis turut bersama-sama menerima hadiah gas pemedih mata walaupun sebenarnya cuba mempertahankan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara dan menyampaikan memorandum kepada Baginda Yang Dipertuan Agong yang telahpun bersetuju untuk menerimanya di pintu masuk Istana Negara. Ironi sekali, yang cuba mempertahan undang-undang diserang, yang melanggar undang-undang disanjung?. Kemudiannya dari DBP juga, Panglima Baru, Datuk Awang Sariyan turut menjual bahasa dan DBP di luar negara hingga ke China dan lain-lain. Harumlah sebentar DBP di luar negara.
Baru-baru ini juga YB telah meminta agar DBP menyemarakkan usaha memartabatkan dan melebarkan sayap bahasa Melayu di peringkat antarabangsa seumpama British Council. Syabas YB. Cuma sekadar mengingatkan YB dan barisan pimpinan negara bahawa tiada gunanya bahasa Melayu dan DBP melebarkan sayapnya di mana-mana jua alam maya ini tetapi di negara sendiri sayapnya dipatahkan seperti dilakukan oleh pimpinan sebelum ini dengan hal-hal seperti dasar PPSMI dan DLP dengan penuh sedar atau muslihat?. Jika itu dilakukan umpama mulut disuap pisang tetapi buntut dikait dengan onak. Ayam bukan sahaja boleh mati dengan cara disembelih tetapi juga dengan cara tidak diberi makan.
Akhirul kalam, kami berharap YB tidak percaya dua fitnah besar bahawa kami benci akan bahasa Inggeris kerana itu bahasa penjajah atau kami tidak mahu rakyat Malaysia pandai berbahasa Inggeris seperti momokan kebanyakan golongan “anglophile” kepada kami. Kami sedar bahawa semua bahasa adalah anugerah Tuhan yang perlu dihargai dan diraikan, dikuasai sebaik mungkin. Menguasai banyak bahasa adalah satu kelebihan. Tetapi dalam konteks negara ini tentulah status, martabat dan peranan atau fungsi bahasa rasmi wajib dibezakan dan di letak di tempat tertinggi berbanding bahasa-bahasa lain. Kami tidak pernah pertikaikan akan penguasaan bahasa Inggeris. Yang kami pertikaikan ialah kaedah atau cara untuk menguasai atau memandaikan anak bangsa di Malaysia akan bahasa Inggeris berdasarkan ilmu pendidikan dan pedagogi. Tetapi hal lain yang berlaku. Lain yang luka lain yang dibebat dan itu sudah jadi seperti orang gila. Kelihatan tiga “kegilaan”. Pertama pelajar perlu belajar mata pelajaran yang pada tanggapan umumnya sukar sedikit iaitu sains dan matematik dalam bahasa yang sukar dan bahasa yang tidak dikuasai dengan baik, iaitu bahasa Inggeris sedangkan mereka ada bahasa yang dikuasai dengan baik, bahasa Melayu. Kedua, kononnya supaya pandai bahasa Inggeris, kaedahnya ialah mereka perlu belajar sains, matematik dan lain-lain dalam bahasa Inggeris?. Ketiga, guru bahasa Inggerisnya pula yang telah berpuluh tahun mengajar Inggeris dan pelajarnya banyak tak pandai-pandai, diberi elaun pula?. Bukankah yang terbaik itu kaedah atau pedagogi bahasa Inggeris itu yang perlu diteliti, dikemas kini dan diperbaiki?.
YB, semasa penulis berkursus di Jepun dahulu, penulis perlu mahir sedikit berbahasa Jepun. Jadi penulis telah dikursuskan dengan bahasa Jepun, “berbuih-buih’ penulis mempelajarinya dan tidak pula diajar sains atau matematik dalam bahasa Jepun kepada penulis supaya pandai Jepun!.
Ayuh YB, semoga sedikit daripada tulisan dalam warkah ini dapat dimanfaatkan jua demi kelangsungan hidup kepustakaan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi di negaranya sendiri. Banyak pakar pendidikan, pakar bahasa, pakar pedagogi dan lain-lain boleh YB rujuk. Cuma perlu berhati-hati kerana kadang-kadang jika terlalu banyak cef, bubur pun boleh hancur?. Moga-moga bahasa Melayu tidak terus dikuburkan oleh pimpinan bangsanya sendiri dengan mencontohi segala tamadun dan kemajuan bangsa lain di dunia seperti Arab, Inggeris, Perancis, Jerman, Rusia, Jepun, Korea dan lain-lain. Marilah kita belajar sesuatu daripada sejarah tamadun bangsa yang memartabatkan bahasanya. Bahasa jiwa bangsa, bahasa sendi tamadun bangsa.
Kamal Shukri Abdullah Sani,
Timbalan Presiden, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM)











