TAWAU – Seorang pemandu lori kelapa sawit terbunuh dipercayai tersepit selepas kenderaan berat yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas di bahu kiri jalan di Jalan Quinn Hill, Batu 19, Bukit Quoin di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Peter Umposon, 51, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat disyaki cedera pada bahagian belakang kepala.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, difahamkan sebelum insiden mangsa dalam perjalanan dari arah Batu 21 menghala ke Jalan Apas Parit untuk menjual kelapa sawit.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian lori yang membawa muatan kelapa sawit itu dikatakan hilang kawalan lalu tergelincir ke bahu jalan kiri sejauh 56.7 meter sebelum terbabas dan terjatuh.
“Akibat kemalangan itu, pemandu lori terbabit tercampak dan tersepit di tempat duduk penumpang bahagian hadapan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya hari ini.
Tambah Fadil, mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Tawau di sini untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










